Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jualan rumah privet baru merosot lagi pada Dis; hanya 45 unit dilancarkan

Penjualan rumah privet baru merosot buat bulan ketiga berturut-turut pada Disember lalu, di tengah-tengah kurangnya  pelancaran projek baru, turun naik kadar faedah dan pasaran lembap yang lazimnya berlaku pada hujung tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan rumah privet baru merosot lagi pada Dis; hanya 45 unit dilancarkan

Perumahan HDB dan privet di S'pura (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru merosot buat bulan ketiga berturut-turut pada Disember lalu, di tengah-tengah kurangnya  pelancaran projek baru, turun naik kadar faedah dan pasaran lembap yang lazimnya berlaku pada hujung tahun.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC),  pemaju hartanah menjual 170 unit pada Disember, berbanding 260 pada bulan sebelumnya. Demikian menurut data Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (16 Jan).

Jumlah unit yang dilancarkan untuk dijual merosot kepada hanya 45.

Pengarah Kanan Kajian di Huttons Asia, Lee Sze Teck berkata  Disember 2022 mencatatkan "rekod sebagai bulan yang paling hambar".

"Pemaju menjual 170 unit pada Disember, iaitu 34.6 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya dan 73.8 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

"Pemaju hanya melancarkan 45 unit untuk dijual pada Disember. Ini adalah jumlah unit terendah yang dilancarkan untuk penjualan sejak URA mula melaporkan data pada Jun 2007."

UNIT DI KAWASAN UTAMA BANDAR KEMBALI POPULAR

Daripada 170 unit yang dijual pada Disember lalu, sebahagian besar adalah di Kawasan Daerah Utama (CCR).

Sebanyak 54 unit di pinggir kawasan tersebut (RCR) dijual sementara hanya 27 di Luar Kawasan Tengah (OCR) terjual.

RAMALAN 2023

Penganalisis kanan bagi kajian dan ciptaan kandungan One Global Group Mohan Sandrasegeran berkata permintaan terpendam bagi projek-projek di lokasi yang popular kemungkinan akan mempunyai pengaruh ketara terhadap penjualan rumah baru pada 2023.

"Trend ini sudah dapat dilihat menerusi kejayaan projek pelancaran baru pertama, Sceneca Residence yang mana 60 peratus unitnya terjual pada hari pelancaran, sekali gus menunjukkan terdapat permintaan tinggi bagi hartanah di lokasi yang popular," katanya.

Prestasi jualan yang baik bagi kondominium di Tanah Merah itu "dijangka akan mengurangkan keraguan mengenai kekuatan pasaran dan menetapkan hala tuju bagi pelancaran akan datang" pada Februari dan Mac ini, kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa Gems Ville, The Botany di Dairy Farm dan Terra Hill kemungkinan akan mengadakan rumah terbuka semasa tempoh perayaan Tahun Baru Cina dan menarik perhatian kepada sambutan menggalakkan bagi pelancaran sebelumnya di kawasan yang sama.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan