Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jualan rumah privet baru kembali rancak, naik 20.7% pada Mac

Penjualan rumah privet baru rancak semula, dengan jumlahnya naik sebanyak 20.7 peratus pada Mac, berbanding penurunan mendadak pada bulan sebelumnya.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Apr 2022 04:53PM Dikemas Kini : 19 Apr 2022 12:34AM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru rancak semula, dengan jumlahnya naik sebanyak 20.7 peratus pada Mac, berbanding penurunan mendadak pada bulan sebelumnya.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), pemaju hartanah menjual 654 unit pada bulan lalu, meningkat daripada 542 pada Februari menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (18 Apr).

Sebahagian besar yang dijual terletak di Baki Kawasan Tengah (RCR), sebanyak 320 unit manakala 181 unit di Luar Kawasan Tengah (OCR) dan 153 unit di Kawasan Tengah Bandar (CCR).

Naib presiden kanan penyelidikan dan analisis di OrangeTee & Tie,Cik Christine Sun, berkata pasaran kediaman privet menunjukkan beberapa tanda pemulihan apabila pemaju hartanah menjual lebih banyak rumah pada bulan lalu.

“Jualan meningkat selepas cuti Tahun Baru Cina dan pelonggaran langkah pengurusan selamat (SMM),” kata Cik Sun.

“Lebih ramai orang boleh datang ke pameran hartanah, sekali gus bilangan tawaran meningkat dengan trafik pelawat yang lebih tinggi.”

Singapura melonggarkan sekatan COVID-19 pada 29 Mac, dengan saiz kumpulan ditambah kepada 10 orang.

Jumlah penjualan dalam CCR meningkat sebanyak 39 peratus berbanding bulan sebelumnya, mendorong penjualan unit berharga S$2 juta dan ke atas kepada 44.9 peratus pada Mac, kata pengarah kanan penyelidikan Huttons bahagian Asia, Lee Sze Teck.

Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, jualan baru tidak termasuk EC merosot sebanyak 49.5 peratus daripada 1,296 unit yang dijual pada Mac tahun lalu.

Pemaju hartanah melancarkan 309 unit pada Mac - naik daripada 195 unit yang dilancarkan bulan sebelumnya.

Sebanyak 60 unit dilancarkan dalam OCR, disusuli dengan 95 dalam RCR dan 154 unit dalam CCR.

Tiada pelancaran projek utama melebihi 200 unit pada bulan Mac, kata Cik Sun.

Beliau menambah bahawa projek sedia ada dapat terus mengurangkan unit yang tidak terjual apabila pembeli kembali ke pasaran.

Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan