Skip to main content

Kewangan

Jualan emas di SG meningkat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan emas di SG meningkat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global

Penganalisis berkata dengan keadaan dunia yang semakin bergelora, pemborongan emas nampaknya akan berterusan dalam jangka pertengahan hingga panjang.

Diterbitkan : 11 May 2025 05:13PM

SINGAPURA: Para peniaga emas di Singapura menyaksikan jualan jongkong dan syiling emas melonjak dalam empat bulan pertama tahun ini.

Pada suku pertama, rakyat Singapura membeli 2.5 tan jongkong emas, meningkat 35 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu - kenaikan terbesar sejak 2010.

Walaupun harga sebentuk logam berharga itu mencecah AS$3,000 (S$3,900) pada Mac dan melonjak kepada AS$3,500 (S$4,540) kurang dua bulan kemudian, para pembeli kelihatan tidak terhambat dan jualannya masih rancak.

Para penganalisis berkata antara sebab ramai orang beli emas adalah nilainya yang terjamin terhadap risiko ekonomi, sedang ketidaktentuan global kian meruncing, sekali gus mendorong pelabur untuk mencari aset yang selamat.

PEMBORONGAN EMAS

Encik Gregor Gregersen, pengasas The Reserve - ruangan kebal berkapasiti luas untuk penyimpanan emas dan perak di Changi - berkata sesetengah pelanggan yang kaya-raya memilih untuk beli emas fizikal.

"(Mereka) membeli, katakanlah, emas bernilai S$60 juta hingga S$70 juta. (Sesetengah) pelanggan buat begitu kerana mereka mahu raih untung daripada emas itu. Mereka mungkin semakin bimbang tentang apa yang mungkin berlaku," katanya.

"Mereka berkata, 'Saya lebih suka... dapatkan emas fizikal, letakkannya di tempat yang selamat, dan secara amnya mengurangkan risiko saya'."

Encik Shaokai Fan, ketua Majlis Emas Dunia bagi Asia Pasifik dan bank pusat, berkata emas telah membuktikan daya tahannya semasa tempoh ketidakstabilan.

“Ia juga merupakan aset yang agak cair, jadi saya rasa itulah yang menyebabkan ramai pelabur masih melabur dalam emas walaupun harganya agak tinggi,” katanya.

Beliau menambah bahawa kebimbangan semakin meningkat terhadap masa depan aset jaminan tradisional seperti dolar Amerika Syarikat dan Perbendaharaan Amerika.

"Apabila anda tidak mempunyai aset yang terjamin, anda hanya ada beberapa pilihan lain ... (seperti) bon pemerintah dan emas. Ramai pelabur ... beralih kepada emas sebagai cara untuk mempersiapkan diri mereka untuk berdepan dunia yang tidak menentu," katanya.

BUKAN SEMUA EMAS BERNILAI

Sungguhpun begitu, bukan semua aset emas sedang jadi rebutan.

Permintaan bagi barang kemas jatuh 20 peratus pada pada suku pertama tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh harga yang terlampau tinggi.

Peniaga emas Brian Lan berkata barang kemas biasanya lebih mahal kerana termasuk kos buruh yang terlibat dalam pertukangan. 

Barang kemas juga tertakluk kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tidak seperti jongkong emas gred pelaburan.

"Jadi, dibandingkan kedua-duanya, jika anda ingin mencari pelaburan, sudah tentu lebih ramai orang akan beri tumpuan kepada emas fizikal dan bukannya barang kemas," kata Encik Lan, yang merupakan pengarah urusan GoldSilver Central.

"Ramai orang melihatnya sebagai mata wang sejagat. Ada orang (juga) fikir mereka boleh mencairkan emas, jika perlu, dan merubahnya menjadi barang kemas."

Bagi bulan-bulan selanjutnya sehingga hujung tahun, para penganalisis berkata daya tarikan emas di bank pusat akan mendorong permintaan, mempengaruh harga ke paras tertinggi setakat ini.

Encik Fan menegaskan bahawa bank pusat telah membeli sejumlah besar emas sejak tiga tahun lalu.

"Bank pusat lebih sensitif terhadap perkembangan politik yang kita lihat sekarang. Ia, seperti pelabur lain, juga perlu cari jalan untuk meningkatkan daya tahan," katanya.

Penganalisis berkata dengan keadaan dunia yang semakin bergelora, pemborongan emas nampaknya akan berterusan dalam jangka pertengahan hingga panjang. 

Sumber : CNA/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita