Skip to main content

Kewangan

JS-SEZ untuk rakyat, manfaatnya mesti dirasai bersama, kata Onn Hafiz

Anggaran Waktu Membaca:
JS-SEZ untuk rakyat, manfaatnya mesti dirasai bersama, kata Onn Hafiz

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi di Forum Pelaburan JS-SEZ yang diadakan di Hilton Hotel, Kuala Lumpur, pada 10 Julai 2024. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 25 Mar 2025 06:04PM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 06:33PM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sejak awal dirancang, bukan sekadar untuk menarik pelaburan atau mewujudkan pembangunan semata-mata, tetapi ia adalah untuk rakyat dan manfaat perlu dirasai bersama, tegas Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, pembangunan dan limpahan ekonomi yang bakal terhasil juga tidak bermaksud rakyat, khususnya Bangsa Johor, perlu melupakan nilai dan jati diri yang diterapkan sejak berzaman.

Peluang Pekerjaan

Encik Onn Hafiz berkata, perkara pertama yang disasarkan daripada pembangunan JS-SEZ ialah peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia, dengan kedua-dua Malaysia dan Singapura komited untuk mewujudkan 100 projek dalam tempoh 10 tahun, lapor Astro Awani.

“Kita bercakap tentang peluang pekerjaan melalui JS-SEZ, yang bukan peluang pekerjaan yang biasa, ia adalah peluang pekerjaan di mana gajinya adalah premium tetapi produktiviti juga lebih tinggi.

“Dan kita sudah berpakat dengan syarikat-syarikat yang sudah masuk ke JS-SEZ ini, untuk pemegang diploma gaji minimum harus RM3,500 (S$1,100) ke atas, dan pemegang ijazah pula RM4,000 (S$1,200) ke atas," katanya.

Melalui gaji premium tersebut, Encik Onn Hafiz berkata, kualiti kehidupan mereka juga meningkat melalui peningkatan perbelanjaan untuk diri dan keluarga.


Untuk rekod, JS-SEZ berkeluasan 357,000 hektar merangkumi Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Forest City, hinggalah ke Kompleks Integrasi Pertroleum Pengerang dan Desaru.

Tumpuan pembangunan JS-SEZ diberikan kepada sektor pengilangan, ekonomi digital, pendidikan, pelancongan kesihatan, tenaga, logistik dan keterjaminan makanan.


Ia dimodelkan daripada hubungan strategik yang terjalin antara Shenzen dan Hong Kong. Shenzen yang satu ketika merupakan perkampungan nelayan, kini digelar Silicon Valley of China, dengan menjadi rumah kepada pembangunan ekonomi digital, pelaburan asing, serta penyelidikan dan pembangunan.

Johor sebagai Shenzen?

Dalam pada itu, Encik Onn Hafiz turut mengambil maklum keresahan penduduk setempat, yang gusar sekiranya cara hidup, budaya mungkin terjejas, atau harga rumah dan kos sara diri mereka akan melonjak menyusuli kesan pembangunan drastik daripada pelan pembangunan tersebut.

Mengenai soal perumahan, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan 30,000 rumah mampu milik di seluruh negeri Johor menjelang 2026.

“Kalau 30,000 tak cukup, kita ada Rumah Kasih Johor, kita ada Rumah Transit Bangsa Johor. Rumah Transit ini untuk anak muda yang mampu nak beli rumah. Dia boleh menyewa dan pada masa sama menabung untuk membeli rumah mampu milik pada masa akan datang.

“Kita ada bantuan untuk mereka yang ada tanah tetapi tak mampu nak buat rumah. Yang ada tanah tetapi tak mampu bina rumah, kita akan bantu dari segi... contoh rumahnya kos RM80,000 (S$24,000), kerajaan akan pergi membantu RM30,000 (S$9,000),” katanya lagi, seperti dinukil laporan Astro Awani.

Bercakap mengenai kos sara hidup, Encik Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menangani isu tersebut.

“Pada masa yang sama kita sedang mengambil pendekatan bersama KPDN untuk memastikan bahawa barang- barang asas, perlu berada pada harga yang rendah.

“Dan ia seharusnya memberi manfaat bukan kepada warga asing tetapi rakyat Malaysia dan juga Bangsa Johor. Itu keutamaan kita,” katanya lagi.

Mampukan Johor hasilkan pembangunan modal insan yang diperlukan?

Menyentuh mengenai penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan dalam JS-SEZ, Encik Onn Hafiz bertegas bahawa masa depan Johor akan ditentukan oleh pembangunan modal insannya sendiri.

“Yang akan menentukan masa depan Johor ialah modal insannya. Sebab itu kita menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC) di mana lapan kementerian duduk semeja, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“JTDC ini akan memastikan bahawa segala keperluan oleh pelabur-pelabur dari segi pekerjaan, dapat kita sediakan. Jadi 'supply is based on demand, so now is demand driven rather than supply driven,” katanya lagi.

Encik Onn Hafiz berkata, inisiatif kerajaan negeri dalam penyediaan modal insan bukan sekadar di peringkat kolej atau institusi pengajian tinggi, tetapi seawal sekolah rendah sekali melalui program Sekolah Rintis Bangsa Johor.

“Kita ada buat Sekolah Rintis Bangsa Johor melibatkan dua sekolah menengah, dua sekolah rendah. Kita nak naikkan kualiti pendidikan di Johor, nak jadikan sebagai 'role model'.


“Insya-Allah di peringkat Kementerian Pendidikan sudah beri lampu hijau atas titah Pemangku Sultan Johor supaya empat sekolah ini kita tingkatkan dua perkara, pertamanya dari segi mutu ataupun kualiti pendidikan, dan keduanya dari segi infrastruktur,” katanya lagi.

Menurut Encik Onn Hafiz, kerajaan negeri juga sudah mula melatih guru, selain berkolaborasi dengan syarikat- syarikat berkepentingan di Johor dan Singapura.

Kritikan dan cemuhan, adat resam kepimpinan

Bercakap mengenai usaha kerajaan negeri, Encik Onn Hafiz yang berpegang kepada enam tunjang utama visi Maju Johor berkata, beliau sedar dan akur, selaku pemimpin negeri, beliau tidak boleh lari daripada kritikan dan cemuhan.

“Saya terima dengan hati yang terbuka. Sebagai pemimpin bila saya melihat sesuatu isu, saya tidak hanya melihat dengan mata, saya melihat dengan hati. Bila saya mendengar sesuatu isu, kita kena dengar dengan hati kerana kalau kita tak menjiwai kesusahan yang dirasai oleh rakyat kita tidak akan benar-benar bersungguh sungguh untuk menyelesaikan itu.

“Dan akhirnya sebagai pemimpin, saya percaya sebagai seorang Islam akhirnya kita menjawab dengan Tuhan. Kita ada tanggungjawab, yang akhirnya … suka tak suka di Padang Masyhar nanti saya kena menjawab.

"Sebab itu saya terima dengan hati yang terbuka untuk mendengar apa saja rintihan yang dikeluarkan oleh rakyat. Insya-Allah kita akan terus buat yang terbaik untuk mereka,” katanya lagi.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita