Johor saran bina Taman Perindustrian ASEAN di JS-SEZ
Kerajaan negeri Johor bercadang mewujudkan Taman Perindustrian ASEAN dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berucap semasa Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ, pada 21 April 2025. (Gambar: Bernama)
Beliau berkata taman perindustrian itu dijangka akan memberi tumpuan terutamanya kepada Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).
"Ia akan menyasarkan untuk menarik pelaburan strategik daripada negara anggota RCEP dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti pengilangan maju, teknologi hijau dan ekonomi digital," katanya dalam ucapan alu-aluan Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ pada Isnin (21 Apr).
Kata Encik Onn Hafiz, taman perindustrian berkenaan akan memacu pemindahan teknologi, meningkatkan daya saing dan mempelbagaikan rantaian bekalan di seluruh ASEAN.
"Kami juga berharap ia akan menawarkan insentif khas seperti pelepasan cukai, mobiliti bakat yang dipermudahkan dan kelonggaran sementara bagi peraturan penghantaran balik dana untuk menjadikan taman perindustrian ini menarik kepada pelabur asing," katanya.
Encik Onn Hafiz turut menambah bahawa langkah tersebut bermatlamat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di JS-SEZ serta mempromosikan rantau Asia Tenggara sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkaitan RCEP.
JS-SEZ telah memacu pelaburan Johor, dengan pelaburan baharu yang diluluskan mencapai RM27.4 bilion (S$8.16 bilion) pada suku pertama tahun ini berbanding RM48.5 bilion (S$14.44 bilion) pada 2024, kata Encik Onn Hafiz.
"(Ini) isyarat awal yang kukuh mengenai momentum di sebalik JS-SEZ. Malah, bagi April 2025, satu lagi projek bernilai RM23 bilion (S$6.85 bilion) sedang dalam perancangan," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri Johor juga telah bekerja keras untuk mewujudkan persekitaran mesra pelabur yang cekap, telus dan boleh dipercayai.
"Kami telah memperkemas proses pelaburan kami melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J). Dengan Johor Super Lane (JSL), kami memperkenalkan mekanisme pantas yang dapat mengurangkan kelewatan birokrasi secara ketara bagi pelaburan keutamaan," katanya lagi.
Sejak dilancarkan pada Februari, IMFC-J telah menguruskan sebanyak 252 pertanyaan tentang pelaburan dengan 42 projek berimpak tinggi yang kini sedang dalam pemprosesan yang dipercepatkan, katanya.
"Apa-apa yang mengambil masa 24 bulan daripada taklimat sehingga operasi boleh dicapai dalam tempoh hanya 13 hingga 14 bulan, penjimatan masa hampir 10 bulan. Ini bukan sahaja mengenai kecekapan. Ia adalah isyarat jelas kepada pelabur: Johor serius, responsif dan bersedia," katanya seterusnya.
Bertemakan "JS-SEZ: Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rantaian Bekalan," forum tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) serta kerajaan negeri Johor.
Dengan melibatkan sekitar 1,000 peserta berdaftar, forum itu menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan, pelabur institusi dan wakil industri, sekali gus menjadikannya antara platform terbesar bagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.