Jetstar Asia henti operasi pada 31 Julai
Syarikat penerbangan Australia, Qantas mengumumkan pada Rabu (11 Jun) bahawa ia akan menutup Jetstar Asia, iaitu unit penerbangan tambang jimat kumpulan itu yang berpangkalan di Singapura, sebagai sebahagian daripada rancangan pembaharuan bertujuan menjana semula sehingga AS$500 juta (S$643.2 juta).

Sebuah pesawat penumpang Jetstar. (Gambar: iStock)
AUSTRALIA: Syarikat penerbangan Australia, Qantas mengumumkan pada Rabu (11 Jun) bahawa ia akan menutup Jetstar Asia, iaitu unit penerbangan tambang jimat kumpulan itu yang berpangkalan di Singapura, sebagai sebahagian daripada rancangan pembaharuan bertujuan menjana semula sehingga AS$500 juta (S$643.2 juta).
Qantas menyatakan 13 pesawat Airbus A320 Jetstar Asia akan dipindahkan secara berperingkat ke Australia dan New Zealand.
Jetstar Asia masih terjejas oleh kos pembekal yang meningkat, yuran tinggi di lapangan terbang dan persaingan yang meningkat di rantau ini.
"Ini secara asasnya telah mencabar keupayaan syarikat penerbangan tambang jimat ini untuk menjana pulangan yang setanding dengan pasaran utama kumpulan tersebut yang mencatatkan prestasi lebih kukuh," menurut Qantas.
Jetstar Asia dijangka mencatat kerugian EBIT asas sebanyak A$35 juta (S$29.3 juta) dalam tahun kewangan ini.
Syarikat penerbangan itu akan henti beroperasi pada 31 Julai dan akan meneruskan penerbangan selama tempoh tujuh minggu akan datang.
Para pelanggan Jetstar Asia yang mempunyai tempahan sedia ada pada penerbangan yang dibatalkan akan ditawarkan bayaran balik penuh.
Kumpulan itu juga akan berusaha untuk menempatkan semula para pelanggan ke syarikat penerbangan lain jika boleh.
Seorang jurucakap Jetstar Asia turut memaklumkan Mediacorp bahawa lebih 500 orang akan diberhentikan kerja berikutan penutupan syarikat penerbangan itu.
Para pekerja terjejas akan diberikan pampasan pemberhentian kerja serta khidmat sokongan pekerjaan, sementara Qantas berusaha mencarikan mereka peluang pekerjaan lain dalam kumpulannya dan bersama syarikat penerbangan lain di rantau itu.
Menurut Qantas lagi, 16 laluan antara negara-negara Asia terjejas ekoran langkah tersebut.
Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan penerbangan antara Singapura dan beberapa destinasi di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, China, Sri Lanka, Jepun dan Australia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.