Skip to main content

Kewangan

Jepun akan lepaskan lagi 200,000 tan simpanan beras untuk kawal harga

Jepun akan melepaskan lagi 200,000 tan metrik beras simpanan bagi menangani kenaikan harga yang meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu, kata Menteri Pertanian Jepun Shinjiro Koizumi pada Selasa (10 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun akan lepaskan lagi 200,000 tan simpanan beras untuk kawal harga

Menteri Pertanian Jepun, Shinjiro Koizumi, memeriksa sebuah gudang yang menyimpan beras simpanan di Kanagawa, Jepun, pada 30 Mei 2025. (Gambar fail: REUTERS/Kim Kyung-Hoon)

TOKYO: Jepun akan melepaskan lagi 200,000 tan metrik beras simpanan bagi menangani kenaikan harga yang meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu, kata Menteri Pertanian Jepun Shinjiro Koizumi pada Selasa (10 Jun).

Daripada jumlah itu, 100,000 tan beras dari musim tuaian 2021 akan dijual dahulu kepada para peruncit dan penjual tempatan yang mempunyai kapasiti pengilangan yang mencukupi.

Selebihnya akan dikeluarkan daripada stok beras tuaian 2020.

Harga beras yang melonjak menjadi isu utama yang membimbangkan para pengguna dan penggubal dasar menjelang pilihan raya penting di Tokyo dan peringkat kebangsaan.

Para pengguna dilihat beratur panjang untuk membeli beras simpanan seberat 5 kg yang dijual pada harga 2,000 yen (S$17.79) sejak ia mula dipasarkan minggu lalu.

“Kami mahu terus bertindak pantas supaya beras simpanan dapat sampai kepada pengguna dengan segera dan pada kos yang rendah,” kata Encik Koizumi dalam satu sidang media.

“Kita tidak boleh membiarkan kitaran positif antara harga dan gaji dalam ekonomi Jepun terjejas. Jika puncanya adalah beras, maka kita harus tangani isu itu dengan segera.”

Sejak Mac lalu, Jepun telah melepaskan kira-kira 600,000 tan beras dari simpanan kecemasan negaranya yang berjumlah sekitar 900,000 tan.

Separuh daripadanya dijual terus kepada para peruncit dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini menerusi dasar pengedaran baharu yang diperkenalkan oleh Encik Koizumi.

Data pada Isnin menunjukkan harga purata beras di pasar raya turun untuk minggu kedua berturut-turut, kepada 4,223 yen ($37.52) bagi setiap 5 kg dalam tempoh tujuh hari hingga 1 Jun, penurunan sebanyak 37 yen (33 sen).

Encik Koizumi turut memberi isyarat bahawa kerajaan Jepun bersedia untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan beras kecemasan dan mengimport beras itu jika perlu bagi menstabilkan harga beras sehingga musim tuaian baharu tiba pada Ogos.

Trend turun naik harga dan langkah dasra selanjutnya akan terus dipantau sedang Jepun mengadakan pilihan raya dalam beberapa minggu akan datang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita