Jenama barang kemas mewah milik anak Melayu tempatan tembusi pasaran antarabangsa, digayakan Michelle Obama & Lady Gaga
Mungkin anda tidak pernah menyangka, barang kemas yang digayakan bukan calang-calang orang seperti mantan wanita pertama Amerika Syarikat Michelle Obama dan penyanyi Lady Gaga juga pelakon Hollywood Nicole Kidman.
Salah satu barang kemas yang direka oleh State Property. (Gambar: State Property)
Gambar-gambar: State Property
BERITAmediacorp: Mungkin anda tidak pernah menyangka, barang kemas yang digayakan bukan calang-calang orang seperti mantan wanita pertama Amerika Syarikat Michelle Obama dan penyanyi Lady Gaga juga pelakon Hollywood Nicole Kidman, merupakan hasil kerja tangan anak Melayu Singapura bernama Afzal Imram dan isterinya Lin Ruiyin.
Lin Ruiyin dan Afzal Imram mengharumkan nama S'pura di persada dunia. (Gambar: State Property)
Berbekalkan kepakaran masing-masing, Afzal dalam bidang rekaan produk industri dan Ruiyin dalam rekaan barang kemas, pasangan suami isteri itu "terjun" dalam bidang pembuatan barang kemas yang ditempah selepas tamat pengajian universiti mereka, lantas menubuhkan jenama State Property pada 2015.
Ia kemudian meluaskan perniagaannya kepada penghasilan barang kemas yang siap dipakai.
Dalam masa enam tahun sahaja, State Property sudah menghasilkan lebih 200 produk barang kemas, dengan ada yang mencecah puluhan ribu dolar.
Rantai emas ini bernilai lebih S$28,000. (Gambar: BERITAmediacorp)
Dengan yang termahal dipamerkan di Singapura adalah seuntai rantai emas bertatahkan mutiara bernilai lebih $28,000.
BERKEMBANG KE BANDAR-BANDAR BESAR NEW YORK, TOKYO & BAHRAIN
Jenama State Property terus menembusi pelbagai siling kaca untuk mengecap kejayaan di persada antarabangsa termasuk mendapat liputan majalah-majalah berprestij dunia seperti Forbes.
Barang kemas mewah State Property kini dijual di butik-butik mewah di kota New York, Tokyo, Bahrain dan Singapura sendiri.
State Property juga baru-baru ini membuka sebuah butik di Armenian Street.
Menurut Encik Afzal dan Cik Ruiyin, Singapura yang begitu dikenali dengan kewibawaannya dalam urusan perniagaan telah membantu jenama State Property berkembang ke luar negara.
Malah, menerusi wawancara emel dengan BERITAmediacorp, Encik Afzal mengatakan "Singapura tidak dikenali dalam dunia perhiasan barang kemas buat masa ini tetapi ini suatu peluang untuk kami (State Property) mengubahnya."
DIPASARKAN DI LAMAN E-DAGANG GLOBAL BAGI JENAMA-JENAMA MEWAH
Antara barang kemas rekaan pasangan itu. (Gambar: State Property)
Ini terbukti apabila baru-baru ini, jenama State Property berjaya mendapat tempat di laman e-dagang global Net-A-Porter yang khusus dalam pemasaran jenama-jenama mewah, satu langkah yang diharap dapat terus membawa jenamanya serta Singapura ke peringkat lebih tinggi.
Selain mengembangkan lagi kehadiran jenama State Property di lebih banyak negara, pasangan Afzal dan Ruiyin juga punya rancangan untuk mengukuhkan lagi khidmat pembuatan barang kemas yang ditempah dengan memperkenalkan batu-batu permata unik yang boleh mencecah ratusan ribu dolar.
"Kami berharap industri barang kemas mewah di Singapura akan terus berkembang dan State Property akan memainkan peranan dalam perkembangan itu." kata Encik Afzal.
IKUTI KISAH LAIN BAGI SIRI KHAS 'CIPTAAN/BUATAN SINGAPURA':
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.