jelasBERITA: Mengapa saham bank SG merosot selepas cecah paras tertinggi?
Saham bank tempatan merosot dua hari berturut-turut pada Khamis (8 Okt), sekali gus meneruskan gelombang penjualan saham yang tercetus selepas Citi menurunkan penarafannya terhadap OCBC.
Deretan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
- Shares in OCBC, UOB and DBS fell on Thursday, Oct 8, extending a sell-off after Citi downgraded OCBC to “sell”.
- Analysts linked the pressure to profit-taking, high valuations, rising bond yields, higher funding costs and expectations of flat earnings at OCBC.
- Broker views differed: Citi was more cautious, Macquarie saw UOB as benefiting the most from interest rates, while RHB gave all three banks a “buy” rating.
- Experts advised investors to assess SORA, the economy, loans, asset quality and wealth fees, while the 2027 outlook remains positive but carries risks.
- Saham OCBC, UOB dan DBS merosot pada Khamis, 8 Oktober, meneruskan penjualan selepas Citi menurunkan penarafan OCBC kepada “jual”.
- Penganalisis mengaitkan tekanan itu dengan pengambilan keuntungan, penilaian tinggi, hasil bon meningkat, kos pembiayaan lebih besar dan jangkaan pendapatan OCBC yang mendatar.
- Pandangan broker berbeza: Citi lebih berhati-hati, Macquarie melihat UOB paling mendapat manfaat kadar faedah, manakala RHB memberi penarafan “beli” kepada ketiga-tiga bank.
- Pakar menasihatkan pelabur menilai SORA, ekonomi, pinjaman, mutu aset dan yuran kekayaan, sementara prospek 2027 kekal positif tetapi berisiko.
Dalam laporannya, Citi menurunkan penarafan OCBC daripada "neutral" kepada "jual", sambil menyatakan bahawa ia menjangka pendapatan bank tersebut bagi suku ketiga kekal tidak berubah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Saham OCBC susut 4.29 peratus atau S$1.30 kepada S$29 pada Khamis. Ia menyusuli kejatuhan lebih lima peratus sehari sebelumnya, yang menyebabkan lebih S$8 bilion terhapus daripada nilai pasaran bank tersebut.
Saham UOB juga berkurangan pada Khamis, dengan penyusutan sebanyak 5.16 peratus atau S$2.19 kepada S$40.25. Saham DBS pula jatuh 4.7 peratus atau S$3.64 kepada S$73.85.
Kemerosotan tersebut berlaku selepas harga saham ketiga-tiga bank tersebut mencatat paras tertinggi baharu tahun ini.
Jadi, mengapakah para pelabur kini semakin berhati-hati meskipun saham bank-bank tersebut mencatat prestasi kukuh sebelum ini? Apakah pula faktor yang bakal menentukan prestasi sektor perbankan menjelang tahun depan?
MENGAPA PELABUR MULA JUAL SAHAM?
Menurut para penganalisis, kemerosotan saham minggu ini didorong beberapa faktor, termasuk tindakan para pelabur yang mengambil keuntungan menyusuli prestasi kukuh sektor perbankan, kenaikan hasil bon serta kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan kos pembiayaan yang perlu ditanggung bank akibat kenaikan kadar faedah.
Penganalisis penyelidikan ASEAN di Jefferies, Joanna Cheah, berkata saham bank-bank Singapura sebelum ini didagangkan pada penilaian yang tinggi dari segi sejarah. Beliau menarik perhatian bahawa OCBC khususnya mencatat prestasi yang sangat kukuh pada suku kedua tahun ini.
Menurut beliau kepada Mediacorp, para pelabur kini mempersoalkan sama ada prestasi tersebut dapat diulang.
Pengurus penyelidikan di Phillip Securities Research, Glenn Thum, berkata selepas harga saham OCBC meningkat sekitar 60 peratus tahun ini, jangkaan terhadap bank tersebut sudah begitu tinggi sehingga sebarang prestasi yang mengecewakan boleh menjejas keyakinan para pelabur.
Ramalan Citi bahawa keuntungan OCBC bagi suku ketiga akan kekal tidak berubah berbanding tahun lalu, selepas meningkat 22 peratus pada suku kedua, menimbulkan persoalan terhadap prospek pertumbuhan yang sebelum ini mendorong kenaikan harga sahamnya.
Kadar faedah yang lebih tinggi lazimnya memberi manfaat kepada bank kerana ia membolehkan pihak bank meraih lebih banyak pendapatan daripada pinjaman. Namun, para penganalisis berkata manfaat tersebut mungkin mengambil masa untuk diraih, sedang bank berdepan kos pembiayaan yang lebih tinggi dalam jangka pendek.
Apabila kadar faedah meningkat, bank mungkin perlu menawarkan pulangan lebih tinggi untuk menarik deposit, sekali gus meningkatkan kos pembiayaan bagi pinjaman mereka.
Encik Thum berkata bank-bank sudah pun bersaing untuk menarik deposit tetap. Kadar faedah bagi pinjaman juga mengambil masa untuk diselaraskan kepada paras lebih tinggi. Ini bermakna margin keuntungan mungkin terus tertekan bagi satu atau dua suku lagi sebelum bertambah baik.
MENGAPA PANDANGAN PENGANALISIS BERBEZA-BEZA?
Para penganalisis memberikan saranan yang agak berbeza-beza terhadap tiga bank Singapura tersebut, dan ia mencerminkan perbezaan pandangan berhubung penilaian saham serta sejauh mana bank-bank berkenaan boleh meraih manfaat daripada perubahan persekitaran kadar faedah.
Citi menurunkan penarafan OCBC daripada "neutral" kepada "jual", dengan harga sasaran S$27.50. Ia mengekalkan penarafan "beli" bagi DBS dan mengulangi penarafan "jual" bagi UOB. Namun, Citi masih lebih mengutamakan UOB berbanding OCBC berdasarkan penilaian relatif dan kedudukan kedua-dua bank.
Firma broker saham lain pula mempunyai pandangan yang lebih positif.
Dalam laporan bertarikh 1 Oktober, Vantarakis daripada Macquarie Equity Research berkata meskipun ketiga-tiga bank akan meraih manfaat daripada kenaikan kadar faedah di Singapura, UOB dijangka menerima manfaat paling besar.
RHB pula mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap sektor perbankan. Dalam laporannya pada 7 Oktober, firma broker saham itu memberikan penarafan "beli" kepada ketiga-tiga bank, dengan OCBC sebagai pilihan utamanya, selain memberikan bank tersebut harga sasaran sebanyak S$33.70.
Menurut RHB, kenaikan kadar faedah boleh merangsang pertumbuhan bank-bank Singapura, dengan OCBC dan UOB dijangka meraih manfaat lebih besar. Namun, DBS kekal sebagai pilihan utama dari segi kestabilan dan pulangan dividen.
PANDANGAN MANA YANG PATUT DIPERCAYAI PELABUR?
Daripada hanya bergantung pada saranan "beli" atau "jual" oleh para penganalisis, para pakar berkata pelabur perlu menilai faktor-faktor utama yang mempengaruhi pendapatan sesebuah bank.
"Para penganalisis secara umumnya sependapat mengenai asas kewangan bank dan hanya berbeza pandangan tentang penilaian saham, oleh itu, para pelabur perlu meneliti sebab di sebalik setiap saranan dan bukan hanya penarafannya," kata Encik Thum.
Antara faktor yang perlu diperhatikan ialah Purata Kadar Semalaman Singapura (SORA), serta sama ada kadar tersebut akan terus meningkat seiring dengan kadar faedah Amerika Syarikat.
Encik Tay berkata, para pelabur juga perlu mengambil kira prospek ekonomi dan kesannya terhadap pertumbuhan pinjaman serta keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang.
Satu lagi persoalan ialah sama ada aliran masuk dana yang berterusan ke dalam sektor pengurusan kekayaan dapat mengekalkan pertumbuhan pendapatan bank daripada yuran yang dikenakan.
APAKAH PROSPEK BANK-BANK SINGAPURA?
Meskipun harga saham merosot baru-baru ini, para penganalisis secara umumnya kekal positif terhadap sektor perbankan dan menjangkakan pendapatan terus meningkat pada tahun depan, disokong beberapa faktor termasuk margin keuntungan yang bertambah baik, pertumbuhan pinjaman dan pendapatan daripada yuran yang dikenakan.
"Kami menjangkakan pendapatan terus meningkat pada 2027, meskipun pada kadar lebih perlahan berbanding pemulihan kukuh pada tahun ini," kata Encik Thum.
Cik Cheah daripada Jefferies turut berkata firma broker saham tersebut kekal positif terhadap sektor perbankan pada 2027, disokong beberapa faktor seperti pertumbuhan pinjaman yang sihat, pengembangan berterusan perniagaan pengurusan kekayaan serta mutu aset yang berdaya tahan.
Namun, risiko masih wujud.
Encik Thum menarik perhatian kepada peningkatan kos kredit dan hasil bon, yang boleh memberi tekanan kepada kedudukan modal bank.
Sementara itu, Encik Tay berkata prospek ekonomi yang lebih lemah pada 2027 boleh mencetuskan semula kebimbangan terhadap mutu aset dan mengimbangi sebahagian manfaat daripada peningkatan pendapatan faedah bersih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.