Skip to main content

Kewangan

jelasBERITA: Mengapa harga COE terus naik meski ada peruntukan tambahan?

Peningkatan populariti kenderaan elektrik (EV) keluaran China untuk pasaran massa serta peningkatan pendapatan isi rumah, boleh menjelaskan mengapa premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kereta kini berada pada paras tertinggi dalam hampir dua tahun, menurut para pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa harga COE terus naik meski ada peruntukan tambahan?

Stesen pengecasan kenderaan elektrik. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 21 Aug 2025 11:43PM Dikemas Kini : 22 Aug 2025 08:44AM
SINGAPURA: Peningkatan populariti kenderaan elektrik (EV) keluaran China untuk pasaran massa serta peningkatan pendapatan isi rumah, boleh menjelaskan mengapa premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kereta kini berada pada paras tertinggi dalam hampir dua tahun, menurut para pakar.

Seorang penganalisis berkata bahawa pasaran masih belum lagi mencapai peruntukan tertinggi COE, dan harga hanya dijangka menurun menjelang akhir dekad ini.

Premium bagi Kategori A meningkat kepada S$104,524 dalam bidaan terkini pada Rabu (20 Ogos), menghampiri paras tertinggi sepanjang masa iaitu S$106,000 yang dicatat pada Oktober 2023.

Harga bagi kereta lebih besar dalam Kategori B mencecah S$124,400, yang tertinggi sejak Disember 2023, manakala COE Kategori Terbuka meningkat kepada S$125,001.

Sebelum ini, para penganalisis meramalkan harga premium berkemungkinan turun mulai 2024 ekoran kitaran 10 tahun peruntukan COE, yang sudah meningkat sejak 2014.

MENGAPA PREMIUM COE MASIH MENINGKAT?

Salah satu sebab premium kekal tinggi ialah kemasukan EV keluaran China bagi pasaran massa, kata Profesor Madya Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Menurut beliau, kenderaan-kenderaan tersebut menawarkan “nilai yang sangat baik” disebabkan kos import yang lebih rendah dan mutu binaan yang tinggi, manakala subsidi-subsidi seperti Insentif Penggunaan Awal EV dan rebat Menangani Pencemaran Asap Kenderaan - yang boleh mengurangkan kos pendahuluan sehingga S$40,000 - turut meningkatkan permintaan.

“Ini berkemungkinan menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan premium COE sejak kebelakangan ini,” kata Prof Madya Theseira.

Seorang lagi penganalisis pengangkutan, Terence Fan, bersetuju bahawa subsidi dan harga EV yang lebih rendah mengurangkan kesan harga COE yang tinggi.

“Pemandu membeli dengan tanggapan bahawa mereka jimat bagi harga kereta, dan membayar lebih untuk COE, dan mereka fikir itu masih berbaloi,” kata Penolong Profesor Fan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Prof Madya Theseira menambah, apabila insentif tersebut tamat pada tahun ini, harga premium mungkin kembali reda.

Pendapatan isi rumah yang meningkat serta keyakinan terhadap ekonomi juga mendorong pembelian kereta, kata Dr Fan.

Meskipun tarif Amerika Syarikat menimbulkan kebimbangan terhadap perdagangan global pada awal tahun ini, perkembangan seterusnya menunjukkan bahawa keadaan tidaklah seteruk yang dibimbangkan.

“Singapura mencatat pertumbuhan GDP, jadi sebahagian daripada keuntungan ini akan menyumbang kepada pendapatan orang ramai serta pandangan optimis tentang hala tuju ekonomi,” kata beliau.

Jika penduduk di sini "yakin dengan prospek" tersebut, mereka akan terus membuat pelbagai pembelian termasuk kereta,” tambah Dr Fan.

MENGAPA BEKALAN MASIH BELUM REDAKAN PERMINTAAN?

Namun, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa peningkatan bekalan COE masih belum meredakan harga premium.

Prof Madya Theseira menjelaskan bahawa walaupun bekalan sudah meningkat, ia masih jauh di bawah paras tertinggi yang pernah dicatat dalam sejarah.

Bekalan COE mula meningkat pada 2014 tetapi bermula daripada paras yang rendah. Dari Februari 2013 hingga April 2014, kurang daripada 400 COE diperuntukkan dalam Kategori A pada setiap bidaan.

Kuota COE kemudian mula meningkat secara beransur-ansur, melepasi 1,400 dalam Kategori A pada Mei 2015.

Untuk tempoh empat tahun selepas itu, bekalan kekal agak tinggi di mana ia melebihi 1,000 dalam setiap bidaan.

Kuota COE meningkat dengan stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2022 dan 2023, kuota COE bagi Kategori A tidak melebihi 1,000 bagi mana-mana bidaan, namun melangkau jumlah tersebut pada 2024, dan setakat ini ia kekal melebihi 1,000 pada 2025.

“Walaupun peruntukan kuota COE meningkat dengan ketara sepanjang tahun lalu, ia masih jauh di bawah tahun-tahun dengan bekalan tertinggi,” kata Prof Madya Theseira.

Menurutnya lagi, harga kebiasaannya hanya menunjukkan penurunan setelah bekalan meningkat selama beberapa tahun.

Sebagai contoh, walaupun 2014 merupakan tahun di mana peruntukan kuota COE mula meningkat, hanya “kemudian hari” pada 2016 dan 2017 barulah bekalan “melonjak”.

Pada 2016, peruntukan kuota mencapai tahap tertinggi iaitu sebanyak 2,272 bagi satu bidaan dalam kitaran 10 tahun itu.

Prof Madya Theseira menambah bahawa kitaran 10 tahun tersebut adalah tidak “sempurna”, kerana ada kereta yang didaftarkan keluar lebih awal, manakala yang lain diperbaharui dan boleh didaftar keluar pada bila-bila masa.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita