Jaluran Ekonomi Laluan Sutera perlu kekal 'terbuka': Chan Chun Sing
Sistem perdagangan berasaskan undang-undang perlu ditegakkan dan maka itu Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China (Belt and Road Initiative) perlu kekal sebagai "wadah terbuka" yang membolehkan aliran perdagangan dan pelaburan bebas, kata Encik Chan Chun Sing pada Khamis (25 Apr).
(Gambar: MTI)
BEIJING: Sistem perdagangan berasaskan undang-undang perlu ditegakkan dan maka itu Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China (Belt and Road Initiative) perlu kekal sebagai "wadah terbuka" yang membolehkan aliran perdagangan dan pelaburan bebas, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Chan Chun Sing pada Khamis (25 Apr).
Demi memenuhi matlamat tersebut, peningkatan dalam bidang-bidang seperti ketersambungan data, diperlukan. Encik Chan berkata demikian di forum mengenai perhubungan perdagangan, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Forum Jaluran Ekonomi Laluan Sutera kedua di Beijing.
Selepas memberi tumpuan kepada penyambungan prasarana sejak lima tahun yang lalu, pelan infrastruktur yang diterajui China perlu dipertingkatkan dengan aspek-aspek dalaman ketersambungan perdagangan seperti data, bakat, teknologi dan kewangan.
Menurut Encik Chan, ini boleh dilakukan dengan memanfaatkan kelebihan dan berusaha menjalin kerjasama dengan rakan kongsi, sambil mempermudahkan lagi perdagangan dan meningkatkan ketersambungan data.
Dalam ucapannya juga, Encik Chan menggesa semua negara agar menegakkan sistem perdagangan sejagat.
Pihak pemerintah perlu mengekang kebangkitan sentimen antiglobalisasi dan keperibumian agar dapat memuka ruang bagi penyepaduan ekonomi yang lebih luas, tambah beliau.
Peraturan perdagangan global, seperti yang dikeluarkan Pertubuhan Perdagangan Dunia, juga perlu dikemas kini agar selaras dengan realiti baru ekonomi global, terutamanya dalam bidang ekonomi digital.
Encik Chan juga menyeru agar bantuan dihulurkan kepada perniagaan dan pekerja tempatan untuk membantu mereka menyesuaikan diri, bukan mengelak dari perubahan "yang perlu dan tidak dapat dielakkan".
PERANCANGAN MASA DEPAN
Di satu forum lain pada Khamis beliau menyentuh pula mengenai ketersambungan dasar. Encik Chan menekankan perlunya tanggungjawab bersama sebagai salah satu daripada tiga prinsip panduan untuk membawa projek BRI ke fasa seterusnya.
"Kita semua mempunyai tugas untuk memastikan projek-projek mematuhi disiplin pasaran dan mengelakkan pertimbangan bukan ekonomi," katanya. "Perlu ada kebertanggungjawapan yang jelas, ketelusan dan nilai untuk wang bagi orang awam."
Projek-projek juga perlu menghormati kedaulatan undang-undang agar dapat membina keyakinan perniagaan, sedang kemampanan kewangan dan alam sekitar pada jangka panjang mesti dipertimbangkan.
"Ini akan memastikan kejayaan projek-projek BRI bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi masa kini tetapi juga generasi akan datang," kata Encik Chan.
Kemampanan juga merupakan satu pesanan penting yang disampaikan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, yang berucap di satu lagi forum bertemakan Laluan Sutera Hijau.
Walaupun Asia pada keseluruhannya mencapai kemajuan yang luar biasa sejak beberapa dekad lalu, kadar penggunaan dan pengeluarannya sudah menjadi tidak mampan.
Encik Masagos, yang menekankan perlunya pembangunan dilakukan secara mampan dan inovatif, sambil kerjasama diteruskan, menyifatkan Perikatan Pembangunan Hijau BRI sebagai satu daya usaha yang penting dan tepat pada waktunya.
Pada Khamis, Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon turut berkongsi pandangannya di forum lain mengenai cara untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ketersambungan prasarana dalam mencapai pertumbuhan ekonomi.
Para menteri berada di Beijing sebagai sebahagian daripada rombongan yang mengiringi Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Forum Jaluran Ekonomi Laluan Sutera. Sidang puncak itu akan dibuka rasmi pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.