Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jalur spektrum 5G M'sia mungkin tidak mencukupi, kata pakar

Malaysia perlu memastikan kapasiti atau peruntukan jalur lebar teknologi Generasi Kelima (5G) yang dimilikinya adalah memadai bagi membolehkannya berupaya menawarkan perkhidmatan berkelajuan tinggi, kata pakar sektor telekomunikasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Jalur spektrum 5G M'sia mungkin tidak mencukupi, kata pakar

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 03 Sep 2021 12:00PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 12:04PM

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memastikan kapasiti atau peruntukan jalur lebar teknologi Generasi Kelima (5G) yang dimilikinya adalah memadai bagi membolehkannya berupaya menawarkan perkhidmatan berkelajuan tinggi, kata pakar sektor telekomunikasi.

Prinsipal firma perunding bebas Windsor Place Consulting Pty Ltd, Scott W Minehane berkata demikian menyusuli cadangan jalur lebar 5G Malaysia yang dilihat sebagai berkemungkinan masih tidak mencukupi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti 700 megahertz (MHz), 3.5 gigahertz (GHz) dan 26/28 GHz sebagai peruntukan jalur spektrum rintis bagi pelaksanaan 5G di Malaysia.

Minehane berkata Malaysia mempunyai peruntukan spektrum jalur lebar kira-kira 610 MHz manakala di Filipina, kalangan pengendali barunya mempunyai 200 MHz lebih tinggi termasuk spektrum 5G lebih ketara.

“Bagi saya, terdapat peluang besar untuk bertindak melakukan beberapa pembahagian spektrum itu agar sekurang-kurangnya 700 MHz dapat digunakan dalam rangkaian 5G bagi meningkatkan perkhidmatan sedia ada,” katanya pada Forum Lonjakan Digital Malaysia pada Khamis.

Forum itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan berkeuntungan Global System for Mobile Communications (GSMA) yang mewakili kepentingan pengendali mudah alih global.

Mengulas selanjutnya, Minehane juga percaya bahawa Malaysia sepertimana negara-negara lain di rantau ini, dijangka berdepan cabaran dalam melaksanakan lingkungan atau julat frekuensi C-band bagi 5G.

C-band merujuk kepada bahagian peruntukan spektrum elektromagnetik bagi tujuan transmisi satelit dalam julat frekuensi 4GHz hingga 8GHz.

Antena satelit digunakan bagi penghantaran frekuensi C-band di bahagian dunia yang isyaratnya terjejas akibat faktor hujan lebat atau isu-isu lain berkaitan cuaca.

“Sehubungan itu, Malaysia perlu meneliti jalur lain dan diharapkan ia mencukupi untuk menyokong 5G di negara ini sejajar dengan penawaran perkhidmatan berkelas dunia,” katanya.

Minehane berkata pasaran lebih maju seperti Korea Selatan, Taiwan dan negara-negara di Timur Tengah juga masih dalam fasa awal pelaksanaan 5G.

Sementara itu, Rakan Sekutu firma perunding ekonomi DT Economics, Dr Lara Stoimenova pula menyarankan supaya Malaysia membangunkan rangka kerja kawal selia yang fleksibel membabitkan pelaksanaan spektrum 5G.

“MCMC perlu terus mengendalikan perundingan awam secara terperinci dengan semua pihak berkepentingan bagi mengenal pasti kebimbangan serta penyelesaian berkaitan pembangunan 5G,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Dasar GSMA bagi Asia Pasifik, Christiaan Segura berkata kalangan pengendali di Malaysia telah membuat pelaburan besar dalam aspek kesalinghubungan 5G.

“Sejak beberapa tahun lepas, pengendali terbabit telah melabur dalam aspek rangkaian, menjalankan ujian di lapangan, mewujudkan pusat-pusat inovasi dan menambah perbelanjaan modal masing-masing bagi menyokong penggunaan berkaitan di masa depan.

“Industri mudah alih juga komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menggalakkan lagi usaha inovasi dan kesalinghubungan,” katanya.

Sumber : Bernama/AW/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan