Skip to main content

Kewangan

IPO SpaceX jadikan Elon Musk trilionair pertama dunia

Bukan ramai tokoh korporat yang mempunyai pengaruh dalam budaya popular seperti Elon Musk. 

Anggaran Waktu Membaca:
IPO SpaceX jadikan Elon Musk trilionair pertama dunia

Tokoh korporat Elon Musk muncul sebagai trilionair pertama dunia. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 13 Jun 2026 09:25AM
  • Elon Musk menjadi tokoh korporat berpengaruh dengan kekayaan luar biasa, didorong kejayaan syarikat seperti SpaceX dan Tesla.
  • IPO SpaceX pada 11 Jun mengumpul AS$75 bilion, meningkatkan nilai kekayaan Musk melebihi AS$1.1 trilion dan mengatasi individu terkaya lain.
  • Walaupun dikritik kerana gaya kepimpinan dan pengaruh politiknya, Musk masih mengekalkan penyokong setia serta keyakinan pelabur.
  • Pengambilalihan Twitter dan pelibatannya dalam isu politik serta kemerosotan jualan Tesla pada 2025 menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Bukan ramai tokoh korporat yang mempunyai pengaruh dalam budaya popular seperti Elon Musk. Usahawan itu bukan sahaja menjadi figura utama dalam budaya internet, malah berjaya mengumpul kekayaan sehingga muncul sebagai trilionair pertama dunia.

Sedang kebimbangan terhadap ketidaksamaan semakin meningkat dan pandangan masyarakat terhadap golongan ultra kaya semakin merosot, Encik Musk berjaya mengekalkan kumpulan penyokong setianya meskipun memiliki kekayaan yang luar biasa. Beliau juga tidak menampilkan perwatakan sederhana yang menjadikan tokoh-tokoh perniagaan lain seperti Warren Buffett disenangi ramai.

Para pengagumnya melihat gaya Encik Musk yang lantang dan berterus terang sebagai sebahagian daripada daya tarikannya. Namun, para pengkritik menuduh beliau mempunyai pengaruh yang menyerupai golongan oligarki, selain membangkitkan kebimbangan berhubung tadbir urus di syarikat-syarikatnya serta membantah campur tangan politik Encik Musk yang semakin memihak kepada kelompok tertentu.

Namun begitu, SpaceX, syarikat yang terlibat dalam bidang roket, satelit dan kecerdasan buatan (AI), yang bersama-sama pengeluar kereta elektrik Tesla membentuk teras empayar perniagaan Encik Musk, berjaya mengumpul rekod AS$75 bilion (S$96.33 bilion) menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada Khamis (11 Jun). Perkembangan itu menyerlahkan keyakinan para pelabur terhadap usaha perniagaannya. Sebelum penjualan saham tersebut, Forbes menganggarkan nilai kekayaan bersih Encik Musk sekitar AS$780 bilion (S$1 trilion), jauh mengatasi individu kedua terkaya dunia, iaitu pengasas bersama Alphabet, Larry Page.

"Individu kedua terkaya dunia berada sekitar AS$300 bilion (S$385.32 bilion), iaitu kurang daripada satu pertiga daripada nilai kekayaan yang berpotensi dimiliki Musk esok," kata Timbalan Editor Forbes Wealth, Matt Durot. "Dan hanya seorang lagi individu, iaitu pengasas Oracle Larry Ellison, pernah memiliki kekayaan yang mencecah AS$400 bilion (S$513.76 bilion)."

Sebahagian besar kekayaan Encik Musk kini terletak pada pegangan sahamnya dalam SpaceX yang dianggarkan bernilai sekitar AS$866 bilion (S$1.11 trilion). Bersama Tesla dan aset-aset lain miliknya, nilai kekayaan bersih beliau akan melebihi AS$1.1 trilion (S$1.41 trilion) apabila saham SpaceX mula didagangkan pada Jumaat, menurut pengiraan Reuters berdasarkan pemfailan syarikat. Jumlah tersebut termasuk komponen saham yang akan diberikan secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Encik Musk mula dikenali ramai menerusi Tesla dan SpaceX sebelum memperluaskan pengaruhnya melalui pengambilalihan platform media sosial Twitter bernilai AS$44 bilion (S$56.51 bilion) pada 2022. Urus niaga itu memberinya saluran langsung kepada ratusan juta pengguna dan menjadikannya suara yang berpengaruh dalam isu-isu seperti politik, imigresen, perbelanjaan pemerintah dan kebebasan bersuara.

Pelibatannya dalam politik, khususnya menerusi peranannya dalam Jabatan Kecekapan Pemerintah yang diterajui Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tahun lalu, merupakan antara langkahnya yang paling kontroversial. Kesan politik daripada pelibatan itu berlaku serentak dengan kemerosotan jualan Tesla di beberapa pasaran antarabangsa pada 2025, apabila syarikat pengeluar kenderaan elektrik itu menjadi sasaran bantahan dan boikot pengguna.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita