Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras SG susut kepada 0.6% pada Mei

Inflasi teras Singapura turun kepada 0.6 peratus bagi Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, susut daripada 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras SG susut kepada 0.6% pada Mei

Seorang penunggang basikal mengambil gambar latar langit bandar Singapura pada 8 September 2024. (Gambar: AP/Suhaimi Abdullah)

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura turun kepada 0.6 peratus bagi Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, susut daripada 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan inflasi makanan, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (23 Jun).

Kadar inflasi teras bulan Mei selaras dengan unjuran kadar 0.6 peratus dalam tinjauan Reuters dalam kalangan ahli ekonomi.

Inflasi teras bulan April sebanyak 0.7 peratus merupakan peningkatan tahun ke tahun yang pertama selepas enam bulan.

Secara bulan ke bulan, inflasi teras – yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan persendirian – mereda kepada 0.0 peratus pada bulan Mei.

Inflasi keseluruhan susut kepada 0.8 peratus, berbanding 0.9 peratus pada bulan April, disebabkan inflasi pengangkutan privet yang lebih rendah.

Secara bulan ke bulan, inflasi keseluruhan – yang tidak termasuk perbelanjaan bukan untuk tujuan penggunaan seperti pembelian rumah, saham dan aset kewangan lain serta cukai pendapatan – meningkat sebanyak 0.7 peratus, menurut MAS dan MTI.

SEKTOR

Inflasi makanan menurun daripada 1.4 peratus pada April kepada 1.1 peratus pada Mei sedang harga makanan tidak dimasak disederhanakan.

Kos pengangkutan privet susut dengan kadar yang lebih perlahan daripada 1.3 peratus kepada 1.1 peratus disebabkan peningkatan harga kereta yang lebih kecil.

Inflasi elektrik dan gas menurun lebih jauh daripada -3.5 peratus kepada -3.7 peratus disebabkan penurunan harga elektrik yang lebih besar.

Inflasi runcit dan barangan lain menurun dengan kadar yang lebih perlahan daripada -1.2 peratus kepada -1.0 peratus menyusuli peningkatan harga peralatan rumah dan penurunan yang lebih kecil dalam kos barangan peribadi.

Inflasi perkhidmatan kekal pada kadar 1.1 peratus, apabila peningkatan lebih besar dalam kos perkhidmatan pengangkutan tempat ke tempat dan insurans kesihatan mengimbangi penurunan yang lebih ketara dalam perbelanjaan percutian.

Situasi yang sama berlaku bagi inflasi penginapan, yang kekal pada 1.1 peratus, berikutan peningkatan yang lebih kecil dalam sewa rumah diimbangi oleh peningkatan lebih besar dalam kos penyenggaraan dan pembaikan rumah.

UNJURAN

MAS dan MTI menyatakan bahawa inflasi import Singapura dijangka kekal “sederhana”, sambil menyatakan bahawa walaupun harga minyak mentah global meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, harganya masih hampir dengan purata 2024.

“Harga komoditi makanan juga dijangka kekal terkawal,” tambahnya.

Secara domestik, kos buruh seunit dijangka meningkat secara beransur-ansur seiring dengan pertumbuhan upah nominal yang sederhana dan peningkatan daya penghasilan.

“Pada masa yang sama, subsidi pemerintah yang dipertingkat bagi perkhidmatan penting seperti jagaan kesihatan awam, pendidikan prasekolah dan pengangkutan awam akan terus meredakan inflasi perkhidmatan,” menurut MAS dan MTI.

Mengambil kira faktor-faktor ini, inflasi teras dan inflasi keseluruhan diunjurkan berada pada purata antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus tahun ini.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita