Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras SG susut kepada 0.5% pada Julai; harga runcit reda

Kadar inflasi teras Singapura susut kepada 0.5 peratus pada Julai berbanding 0.6 peratus pada Jun, berdasarkan perangkaan terkini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Aug 2025 05:32PM Dikemas Kini : 26 Aug 2025 12:21AM
SINGAPURA: Kadar inflasi teras Singapura susut kepada 0.5 peratus pada Julai berbanding 0.6 peratus pada Jun, berdasarkan perangkaan terkini.

Penurunan inflasi teras itu didorong oleh kejatuhan harga runcit dan barangan lain, serta inflasi elektrik dan gas yang lebih rendah, menurut kenyataan bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (25 Ogos).

Kadar inflasi teras bagi Julai adalah lebih rendah berbanding kadar 0.6 peratus yang diramalkan dalam tinjauan agensi berita Reuters ke atas pakar-pakar ekonomi.

Ia juga merupakan kadar paling rendah sejak Mac, yang juga berada pada paras 0.5 peratus.

Berbanding bulan Jun, inflasi teras, yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan persendirian, turun sebanyak 0.1 peratus pada Julai.

Inflasi keseluruhan, yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna-Semua Barangan (CPI-All Items), turun kepada 0.6 peratus pada Julai berbanding 0.8 peratus pada Jun, berikutan inflasi penginapan dan inflasi teras yang lebih rendah.

Berbanding bulan Jun, inflasi keseluruhan – yang tidak merangkumi perbelanjaan seperti pembelian rumah, saham, aset kewangan lain dan cukai pendapatan – turun sebanyak 0.7 peratus.

Indeks Harga Pengguna lazimnya digunakan di Singapura untuk mengukur perubahan harga barangan pengguna dalam ekonomi. Ia menjejak perubahan harga bagi sejumlah tetap barangan dan perkhidmatan yang biasa dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa. Indeks Harga Pengguna-Semua Barangan pula memberi gambaran menyeluruh tentang harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

SEKTOR-SEKTOR

Pada Julai, inflasi makanan meningkat sedikit kepada 1.1 peratus berbanding 1.0 peratus pada Jun, sedang harga perkhidmatan makanan dan makanan mentah naik dengan cepat.

Inflasi pengangkutan persendirian naik kepada 2.1 peratus pada Julai berbanding 2.0 peratus pada Jun, disebabkan oleh harga kereta yang naik lebih ketara.

Kos elektrik dan gas mencatatkan penurunan lebih besar, daripada -3.9 peratus kepada -5.6 peratus, ekoran penurunan lebih ketara pada harga elektrik.

Harga barangan runcit dan lain-lain merosot kepada -0.5 peratus pada Julai selepas kekal tidak berubah pada Jun, berikutan harga pakaian, kasut dan peralatan rumah yang merosot.

Inflasi penginapan turun kepada 0.5 peratus pada Julai berbanding 1.0 peratus pada Jun, disebabkan kos penyelenggaraan, pembaikan rumah dan sewa rumah yang naik lebih perlahan.

Inflasi perkhidmatan kekal tidak berubah dengan kos perkhidmatan sosial yang lebih rendah dan harga perkhidmatan pesakit luar yang turun mendadak, diimbangi oleh penurunan yang lebih kecil bagi perbelanjaan cuti.

UNJURAN

Menurut MAS dan MTI, inflasi import dijangka kekal sederhana pada jangka terdekat, memandangkan harga minyak mentah global terus reda dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sementara kenaikan harga komoditi makanan juga dijangka kekal terkawal.

“Walaupun konflik dagangan yang berterusan mungkin menyebabkan inflasi bagi sesetengah ekonomi, kesannya ke atas harga import Singapura dijangka akan diimbangi oleh inflasi yang lebih perlahan susulan permintaan global yang lemah,” tambah mereka.

Di dalam negeri, kos buruh seunit dijangka sederhana disebabkan oleh pertumbuhan gaji nominal yang lebih perlahan di samping peningkatan produktiviti buruh.

Subsidi pemerintah yang ditambah baik bagi perkhidmatan asas juga akan terus meredakan inflasi dalam sektor perkhidmatan.

MAS dan MTI menyatakan inflasi teras dan inflasi keseluruhan dijangka mencatat purata antara 0.5 hingga 1.5 peratus pada 2025.

Namun, unjuran inflasi pada suku tahun mendatang tertakluk kepada risiko peningkatan dan kemerosotan.

“Kejutan geopolitik boleh meningkatkan kos tenaga import dan kos penghantaran secara mendadak,” tambah kenyataan itu.

“Sebaliknya, sekiranya pertumbuhan global dan domestik lebih perlahan dan lemah daripada jangkaan, inflasi teras boleh kekal rendah untuk tempoh yang lebih lama.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita