Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras SG naik kepada 1.4% pada Feb; tertinggi sejak Dis 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras SG naik kepada 1.4% pada Feb; tertinggi sejak Dis 2024

Pekerja pejabat berjalan kaki di kawasan CBD. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 23 Mar 2026 03:08PM Dikemas Kini : 23 Mar 2026 03:11PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat kepada 1.4 peratus pada Februari berbanding setahun lalu, meningkat daripada 1 peratus pada Januari, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (23 Mac).

Perangkaan itu adalah yang tertinggi sejak Disember 2024.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi dalam perkhidmatan, makanan dan runcit serta barangan lain, sebahagiannya mencerminkan kesan bermusim yang berkaitan dengan Tahun Baharu Cina, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan media bersama.

Berdasarkan perbandingan dari bulan ke bulan, harga teras - yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan privet - meningkat sebanyak 0.5 peratus pada Februari.

Inflasi keseluruhan, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna-Semua Barangan, jatuh kepada 1.2 peratus pada Februari daripada 1.4 peratus pada Januari, disebabkan oleh inflasi penginapan dan pengangkutan privet yang lebih rendah yang lebih mengimbangi inflasi teras yang lebih tinggi.

Berdasarkan perbandingan dari bulan ke bulan, inflasi keseluruhan - yang tidak termasuk perbelanjaan bukan konsumpsi seperti pembelian rumah, saham dan aset kewangan lain serta cukai pendapatan - meningkat sebanyak 0.6 peratus pada Februari.


SEKTOR-SEKTOR

Data rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (23 Mac) menunjukkan bahawa inflasi penginapan merosot kepada 0.3 peratus pada Februari daripada 1.9 peratus pada bulan sebelumnya. Ini disebabkan oleh peningkatan yang lebih kecil pada kos penyelenggaraan dan pembaikan perumahan, kata MAS dan MTI.

Inflasi pengangkutan privet jatuh daripada 2.7 peratus pada Januari kepada 2.4 peratus pada Februari disebabkan oleh penurunan harga petrol yang lebih besar pada Februari.

Harga elektrik dan gas jatuh daripada -4.2 peratus kepada -4.3 peratus disebabkan oleh penurunan harga elektrik yang lebih mendadak pada Februari, manakala inflasi runcit dan barangan lain naik sedikit daripada 0.5 kepada 0.6 peratus disebabkan oleh peningkatan yang lebih besar pada kos ubat-ubatan dan produk kesihatan, serta harga perabot dan kelengkapan rumah yang lebih tinggi.

Inflasi makanan meningkat kepada 1.6 peratus pada Februari daripada 1.2 peratus, memandangkan harga makanan yang tidak dimasak dan perkhidmatan makanan meningkat pada kadar yang lebih pantas.

Inflasi perkhidmatan meningkat kepada 2 peratus, daripada 1.5 peratus, terutamanya disebabkan oleh kenaikan tambang penerbangan dan kos perbelanjaan percutian.

TINJAUAN

MAS dan MTI menyatakan bahawa harga tenaga global telah meningkat dengan ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, disebabkan oleh perang yang berterusan di Timur Tengah, sambil menambah bahawa tekanan kos import Singapura berkemungkinan akan meningkat dalam jangka masa terdekat.

"Di peringkat domestik, pertumbuhan kos buruh unit berkemungkinan akan meningkat lebih tinggi tahun ini, walaupun tahap peningkatan akan terjejas oleh pertumbuhan produktiviti yang berterusan.

"Sementara itu, permintaan konsumpsi peribadi dijangka kekal stabil, di tengah-tengah kenaikan gaji sebenar yang berterusan," menurut MAS dan MTI.

MAS dan MTI menyatakan bahawa inflasi teras dan keseluruhan kini diunjurkan pada purata 1.0 hingga 2.0 peratus pada 2026.

"MAS sedang menilai perkembangan terkini dan akan memberikan kemas kini kepada tinjauan inflasi dalam penyata dasar kewangan pada April."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita