Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras SG naik kepada 0.4% pada Sep, jangkaui unjuran

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras SG naik kepada 0.4% pada Sep, jangkaui unjuran

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 23 Oct 2025 03:08PM Dikemas Kini : 23 Oct 2025 03:09PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat kepada 0.4 peratus pada September berbanding setahun lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Khamis (23 Okt), meningkat daripada 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini dipacu terutamanya oleh kenaikan harga runcit dan barangan lain, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan bersama.

Perangkaan itu, yang tidak termasuk kos pengangkutan darat privet dan kos penginapan, adalah lebih tinggi daripada median 0.2 peratus yang diunjurkan dalam tinjauan pakar ekonomi oleh Reuters.

Berdasarkan dari bulan ke bulan, harga teras meningkat sebanyak 0.3 peratus pada September.

Inflasi keseluruhan, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna-Semua Barang (CPI-All Items), meningkat kepada 0.7 peratus pada September berbanding setahun lalu, daripada 0.5 peratus pada Ogos. Ini disebabkan oleh kenaikan lebih tinggi harga pengangkutan privet, serta kenaikan pada inflasi teras.

Berdasarkan dari bulan ke bulan, inflasi CPI-Semua Barang (yang tidak termasuk perbelanjaan bukan untuk digunakan seperti pembelian rumah, saham, aset kewangan lain, dan cukai pendapatan) meningkat sebanyak 0.4 peratus pada September.

Indeks Harga Pengguna (CPI) sering digunakan di Singapura sebagai kayu ukur naik turun harga pengguna dalam ekonomi.

Ia berfungsi untuk mengukur perubahan harga bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan tetap yang biasanya dibeli oleh isi rumah tempatan dari semasa ke semasa.

CPI-Semua Barang menyediakan gambaran yang menyeluruh mengenai harga barangan dan khidmat pengguna.

PRESTASI INFLASI MENGIKUT SEKTOR

Pada September, inflasi pengangkutan privet melonjak kepada 3.7 peratus berbanding 2.4 peratus pada Ogos. Ini disebabkan oleh kenaikan harga kereta yang lebih tinggi, menurut MAS dan MTI.

Inflasi runcit dan barangan lain meningkat kepada 0.3 peratus (daripada -0.2 peratus). Ini didorong oleh kenaikan harga perabot dan perkakas penjagaan diri.

Inflasi elektrik dan gas susut kepada -5.8 peratus (daripada -5.7 peratus pada bulan sebelumnya), kerana terdapat penurunan harga elektrik yang lebih ketara.

Inflasi penginapan kekal stabil pada 0.4 peratus, kerana kadar kenaikan sewa rumah tidak berubah.

Inflasi makanan juga tidak berubah, kekal pada 1.1 peratus. Ini kerana kelembapan harga makanan tidak dimasak diimbangi oleh kenaikan harga khidmat makanan (makanan yang dijual).

Inflasi perkhidmatan berkurangan sedikit kepada 0.3 peratus (daripada 0.4 peratus pada bulan sebelumnya). Hal ini berlaku kerana kenaikan kecil kos insurans kesihatan dan penurunan harga perkhidmatan infokom yang lebih besar.

UNJURAN

MAS dan MTI menjangkakan kos import Singapura akan terus menurun, walaupun pada rentak yang lebih perlahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

MAS dan MTI meramalkan harga minyak mentah global akan susut dengan lebih perlahan pada 2026 berbanding 2025. Inflasi serantau pula dijangka meningkat sedikit selepas menunjukkan prestasi yang lemah tahun ini.

Di peringkat domestik, faktor-faktor pentadbiran yang meredakan inflasi buat sementara waktu dijangka berkurangan secara berperingkat pada suku-suku akan datang.

Selain itu, pertumbuhan kos buruh bagi setiap unit dijangka mula meningkat seiring dengan pemulihan pertumbuhan produktiviti, manakala permintaan perbelanjaan swasta dijangka kekal stabil.

Berdasarkan semua faktor ini, MAS dan MTI mengunjurkan:

Inflasi Teras: Diramalkan mencecah sekitar 0.5 peratus pada 2025, sebelum meningkat kepada 0.5 hingga 1.5 peratus pada 2026.

Inflasi CPI-Semua Barang (Keseluruhan): Dijangka berada pada purata 0.5 hingga 1 peratus pada 2025 dan 0.5 hingga 1.5 peratus pada 2026.

MAS dan MTI memberi amaran bahawa prospek inflasi masih tertakluk kepada ketidakpastian. Gangguan bekalan (termasuk yang berpunca daripada isu geopolitik) boleh meningkatkan kos import secara tiba-tiba.

Mereka menambah: "Sungguhpun demikian, kelemahan permintaan global yang lebih teruk daripada yang dijangkakan boleh mengekalkan inflasi teras lebih rendah untuk tempoh yang lebih lama," dan "penurunan ketara harga minyak global yang lain juga boleh menjejas rentak kenaikan harga buat sementara waktu".
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita