Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras SG naik 0.6% pada Jun, lebih rendah berbanding unjuran ahli ekonomi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jul 2025 03:09PM Dikemas Kini : 25 Jul 2025 12:11AM
  • Indeks harga pengguna Singapura naik 0.6 peratus pada Jun berbanding setahun yang lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Rabu (23 Jul).
  • Inflasi yang lebih tinggi bagi barangan runcit dan barangan lain diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam semua kategori indeks harga pengguna utama yang lain, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
  • MAS dan MTI menjangkakan inflasi import Singapura akan kekal "sederhana" sedang harga minyak mentah global menurun dan kenaikan harga komoditi makanan dijangka kekal terkawal.
  • Dalam semakan sebelumnya pada April, MAS melonggarkan dasar kewangan negara buat kali kedua tahun ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Indeks harga pengguna Singapura naik 0.6 peratus pada Jun berbanding setahun yang lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Rabu (23 Jul).

Perangkaan itu lebih rendah daripada ramalan ahli ekonomi.

Kadar inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan, dibandingkan dengan 0.7 peratus yang diramalkan berdasarkan tinjauan Reuters ke atas beberapa ahli ekonomi.

Inflasi yang lebih tinggi bagi barangan runcit dan barangan lain diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam semua kategori indeks harga pengguna utama yang lain, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Kadar inflasi teras pada Jun serupa dengan yang dicatatkan pada bulan Mei.

Sementara itu, inflasi utama ialah 0.8 peratus pada Jun, lebih rendah daripada ramalan ahli ekonomi yang mengunjurkan sebanyak 0.9 peratus. Ia juga tidak berubah berbanding Mei.

Selain inflasi teras yang kekal tidak berubah, inflasi pengangkutan yang lebih tinggi diimbangi oleh inflasi penginapan yang lebih rendah, menurut MAS dan MTI.

MAS dan MTI menjangkakan inflasi import Singapura akan kekal "sederhana" sedang harga minyak mentah global menurun dan kenaikan harga komoditi makanan dijangka kekal terkawal.

"Walaupun konflik perdagangan yang berterusan boleh menyebabkan inflasi terhadap sesetengah ekonomi, kesannya terhadap harga import Singapura mungkin akan diimbangi oleh faktor-faktor yang mengurangkan inflasi yang disebabkan oleh permintaan global yang lebih lemah," menurut MAS dan MTI.

Di dalam negara, kos buruh seunit "diunjurkan meningkat secara beransur-ansur" kerana pertumbuhan gaji nominal terus berkurangan, walaupun daya penghasilan meningkat.

Subsidi pemerintah yang dipertingkatkan untuk khidmat-khidmat penting seperti jagaan kesihatan awam, pendidikan prasekolah dan pengangkutan awam juga akan terus membendung inflasi perkhidmatan, menurut MAS dan MTI.

Data terkini itu dikeluarkan seminggu sebelum semakan dasar kewangan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 30 Julai.

Dalam semakan sebelumnya pada April, MAS melonggarkan dasar kewangan negara buat kali kedua tahun ini.

Ia juga menurunkan ramalan untuk inflasi teras dan inflasi utama tahun ini kepada antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus.

Pada masa yang sama, MTI menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura untuk 2025 kepada antara 0 peratus hingga 2 peratus.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita