Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras SG kekal stabil 1.4% pada Mei

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jun 2026 02:28PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 12:33AM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura kekal stabil pada 1.4 peratus pada Mei, meskipun kos tenaga yang lebih tinggi dijangka menaikkan kos import dari semasa ke semasa, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa (23 Jun).

Walaupun inflasi makanan serta inflasi bagi barangan runcit dan barangan lain meningkat, kenaikan itu sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi perkhidmatan yang lebih rendah, menurut kenyataan media bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Kadar inflasi teras pada Mei juga lebih rendah daripada unjuran median 1.6 peratus dalam tinjauan Reuters.

Inflasi keseluruhan, yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (CPI-All Items), turut kekal pada 1.8 peratus, tidak berubah daripada April.

Menurut MAS dan MTI, peningkatan inflasi pengangkutan privet dan penginapan, makanan serta barangan runcit dan lain-lain sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi perkhidmatan yang lebih rendah.

Berdasarkan perbandingan dari bulan ke bulan, harga teras - yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet - meningkat 0.7 peratus pada Mei.

UNJURAN

“Apabila kos tenaga yang lebih tinggi mula meresap ke dalam rantaian bekalan global dengan sedikit kelengahan, ia dijangka menaikkan kos pengeluaran dan pengangkutan bagi lebih banyak barangan dan perkhidmatan import Singapura dari semasa ke semasa,” menurut MAS dan MTI.

Kedua-dua MAS dan MTI turut menyatakan bahawa walaupun harga tenaga global menurun kebelakangan ini, ia masih pada paras lebih tinggi berbanding 2025.

“Di dalam negara, kos buruh seunit bagi sektor perkhidmatan dijangka meningkat pada rentak yang lebih perlahan tahun ini apabila pertumbuhan gaji nominal menjadi lebih sederhana berbanding tahap kukuh tahun lalu. Pada masa yang sama, pengguna domestik mungkin lebih berhemat semasa berbelanja berikutan ketidaktentuan ekonomi.”

Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, inflasi teras dan inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2026.

“Pada ketika ini, risiko terhadap prospek inflasi masih cenderung ke arah peningkatan. Pemulihan bekalan tenaga global yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan atau kekurangan berterusan bekalan input perantaraan utama dalam rantaian bekalan serantau boleh meningkatkan lagi kos import Singapura,” menurut MAS dan MTI.

“Namun, terdapat juga risiko ke arah penurunan. Usaha mengetatkan keadaan kewangan global yang lebih ketara daripada jangkaan boleh menyebabkan aktiviti ekonomi menjadi perlahan dan seterusnya menurunkan inflasi.”

SEKTOR

Data rasmi menunjukkan inflasi perkhidmatan menurun daripada 1.5 peratus pada April kepada 1.3 peratus pada Mei, terutamanya disebabkan oleh penurunan harga perkhidmatan telekomunikasi yang lebih ketara.

Inflasi elektrik dan gas kekal pada -3 peratus, dengan harga elektrik terus menurun pada kadar yang sama seperti pada April.

Inflasi bagi barangan runcit dan lain-lain meningkat sedikit daripada 1.5 peratus kepada 1.6 peratus pada Mei apabila harga peralatan penjagaan diri serta peralatan teknologi infokom meningkat pada kadar yang lebih pantas.

Inflasi penginapan juga naik sedikit daripada 0.4 peratus kepada 0.5 peratus, didorong oleh kenaikan sewa rumah yang lebih besar.

Inflasi makanan meningkat daripada 1.6 peratus kepada 1.8 peratus apabila harga makanan mentah dan perkhidmatan makanan meningkat pada rentak yang lebih pantas.

Sementara itu, inflasi pengangkutan privet meningkat daripada 8.1 peratus kepada 8.6 peratus, berikutan kenaikan harga kereta dan motosikal yang lebih tinggi.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita