Skip to main content

Kewangan

Inflasi teras S'pura pada Ogos kekal 1.9%, tidak berubah berbanding Julai

Indeks harga pengguna (CPI) teras Singapura pada bulan Ogos kekal tidak berubah pada 1.9 peratus, berbanding bulan sebelumnya, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (24 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Sep 2018 03:04PM Dikemas Kini : 24 Sep 2018 09:16PM

SINGAPURA: Indeks harga pengguna (CPI) teras Singapura pada bulan Ogos kekal tidak berubah pada 1.9 peratus, berbanding bulan sebelumnya, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (24 Sep).

Inflasi runcit dan makanan yang lebih tinggi mengimbangi inflasi perkhidmatan yang lebih sederhana, menurut MAS dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Ukuran inflasi teras itu tidak mengambil kira perubahan pada harga kereta dan penginapan.

Inflasi umum naik 0.7 peratus pada bulan Ogos berbanding setahun lalu, seperti yang dijangkakan. Satu tinjauan Reuters sebelum ini meramalkan CPI bagi semua barangan akan naik 0.7 peratus - lebih tinggi sedikit berbanding kenaikan 0.6 peratus pada bulan Julai, sedang harga penginapan merosot dengan sederhana.

Harga perumahan jatuh 2.6 peratus pada bulan Ogos berbanding setahun lalu, lebih sederhana berbanding kemerosotan 3 peratus pada bulan Julai. Ini mencerminkan kadar kemerosotan lebih perlahan pada harga sewa rumah dan kenaikan lebih tinggi pada kos penyenggaraan dan pembaikan rumah, menurut MAS.

Harga pengangkutan privet pula turun 0.2 peratus, kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya kerana kemerosotan kecil pada harga kereta diimbangi oleh kenaikan sederhana harga minyak.

Secara keseluruhannya, harga barangan runcit naik 2 peratus berbanding Ogos tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan pada harga pakaian dan kasut serta produk-produk penjagaan peribadi. Inflasi harga makanan pula meningkat kepada 1.7 peratus.

Sementara itu, inflasi perkhidmatan turun kepada 1.3 peratus daripada 1.5 peratus pada tahun sebelumnya. Kemerosotan pada bayaran perkhidmatan telekomunikasi juga mengimbangi kenaikan lebih pantas harga tiket pesawat.

RAMALAN INFLASI

Inflasi teras MAS dijangka naik secara bertahap-tahap pada 2018 untuk mencecah paras purata antara 1.5 hingga 2 peratus bagi sepanjang tahun ini.

Inflasi umum diramalkan antara 0.5 dengan 1 peratus.

Harga minyak sedunia semakin meningkat sejak permulaan tahun ini dan diramalkan mencecah paras purata lebih tinggi pada 2018 berbanding tahun lalu, menurut MAS. Sementara itu, harga barangan keperluan makanan sedunia dijangka naik sedikit.

Sumber inflasi domestik dijangka meningkat sejajar dengan pertumbuhan gaji yang meningkat pada rentak lebih pantas dan permintaan domestik yang bertambah baik.

Bagaimanapun, kenaikan harga pengguna akan kekal sederhana kerana harga sewa runcit kekal tidak berubah dan kuasa penetapan harga oleh syarikat-syarikat mungkin terhad disebabkan oleh persaingan pasaran.

Kos penginapan pula diramalkan merosot sedikit berbanding 2017 manakala inflasi pengangkutan privet juga dijangka merosot pada tahun ini.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita