Inflasi teras S'pura naik kepada 1.9% pada Disember berbanding tahun lalu
Inflasi teras Singapura meningkat kepada 1.9 peratus pada bulan Disember berbanding setahun lalu.

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Diane Leow)
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat kepada 1.9 peratus pada bulan Disember berbanding setahun lalu. Demikian menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan hari ini (23 Jan).
Kenaikan kos khidmat dan barangan runcit adalah penyumbang utama peningkatan itu, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan.
Inflasi teras tidak termasuk perubahan harga kereta dan kos penginapan.
Inflasi umum naik 0.5 peratus dari tahun ke tahun pada Disember berbanding 0.3 peratus pada November, mencerminkan inflasi lebih tinggi untuk khidmat dan barangan runcit, serta kemerosotan kecil pada kos penginapan.
Bagi keseluruhan 2018, inflasi teras meningkat kepada 1.7 peratus berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya. Inflasi umum bagi 2018 adalah 0.4 peratus, lebih rendah berbanding 0.6 peratus yang dicatat pada 2017.
Inflasi perkhidmatan meningkat kepada 1.5 peratus dari tahun ke tahun pada Disember berbanding 1.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Ini disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan percutian dan harga tiket penerbangan lebih ketara, serta kemerosotan yuran khidmat telekomunikasi lebih kecil, menurut MAS dan MTI.
Kos keseluruhan barangan runcit naik 1.7 peratus dari tahun ke tahun, lebih cepat berbanding kenaikan 1.1 peratus pada November.
Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan lebih besar bagi harga pakaian dan kasut serta perkakas rumah.
Inflasi makanan kekal pada kadar 1.4 peratus seperti dua bulan sebelumnya, sedang kenaikan harga barangan makanan belum dimasak dan makanan siap dimasak umumnya kekal tidak berubah.
Kos bekalan elektrik dan gas naik sebanyak 14.6 peratus dari tahun ke tahun, lebih rendah berbanding kenaikan 15.4 peratus pada November.
Kadar inflasi lebih rendah disebabkan oleh pelancaran bertahap-tahap Pasaran Elektrik Terbuka bagi harga elektrik, menurut MAS dan MTI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.