Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Inflasi teras S'pura naik 1.5% pada Okt; tertinggi dalam hampir 3 tahun

Inflasi teras Singapura pada Oktober meningkat ke paras tertinggi dalam masa hampir tiga tahun menyusuli kenaikan harga makanan dan perkhidmatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Nov 2021 03:09PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 09:19PM

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura pada Oktober meningkat ke paras tertinggi dalam masa hampir tiga tahun menyusuli kenaikan harga makanan dan perkhidmatan.

Data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa (23 Nov) menunjukkan bahawa inflasi teras - yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet - meningkat kepada 1.5 peratus berbanding setahun lalu, lebih tinggi daripada 1.2 peratus yang dicatatkan pada September.

Berdasarkan tinjauan Reuters, para pakar ekonomi meramalkan pertumbuhan 1.3 peratus.

Sementara itu, indeks utama harga pengguna, atau inflasi secara keseluruhannya, meningkat kepada 3.2 peratus pada Oktober berbanding setahun lalu - dan 2.5 peratus jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya - juga menjangkaui 2.8 peratus yang diunjurkan.

Mendedahkan perangkaan itu dalam satu kenyataan bersama, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan pertumbuhan itu mencerminkan inflasi pengangkutan privet dan penginapan yang lebih kukuh, di samping inflasi teras yang lebih tinggi.

HARGA MAKANAN, PERKHIDMATAN NAIK

Inflasi harga makanan meningkat kepada 1.7 peratus pada Oktober, naik daripada 1.6 peratus pada September. Sebahagian besarnya didorong oleh kenaikan harga makanan belum dimasak, dengan inflasi makanan yang sudah dimasak rata-rata kekal tidak berubah.

Inflasi yang lebih tinggi bagi tambang penerbangan dan perbelanjaan percutian menyumbang kepada peningkatan pada kadar inflasi perkhidmatan - dari 1.2 peratus pada September kepada 1.6 peratus pada Oktober. Tuisyen dan yuran lain, serta harga khidmat riadah dan kebudayaan, turut mencatatkan peningkatan yang lebih besar.

Harga kereta, yang terjejas oleh premium COE yang lebih tinggi, menyaksikan pertumbuhan kukuh, yang membawa kepada kenaikan yang mendadak pada kos pengangkutan privet. Inflasi dalam kategori ini melonjak kepada 14.3 peratus pada Oktober berbanding setahun lalu dan 10.8 peratus jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.

Sewa rumah juga meningkat, yang membawa kesan kepada inflasi penginapan, meningkat dari 1.9 peratus pada September kepada 2.5 peratus pada Oktober.

RAMALAN INFLASI

MAS dan MTI menjangkakan peningkatan yang stabil pada inflasi teras menjelang beberapa suku akan datang ekoran peningkatan kos import dan buruh, ditambah pula dengan pemulihan pada aktiviti ekonomi domestik.

Unjuran bagi inflasi teras pada 2021 secara keseluruhannya kekal tidak berubah - hampir dengan hujung julat ramalan antara 0 hingga 1 peratus tahun ini, dengan peningkatan lagi 1 hingga 2 peratus pada 2022.

Inflasi secara keseluruhannya dijangka mencecah 2 peratus tahun ini dan purata 1.5 hingga 2.5 peratus pada tahun depan.
"Di tengah-tengah kelengahan pada kerja-kerja binaan, inflasi penginapan dijangka kekal kukuh dan terus menyokong inflasi CPI-Semua Barangan pada 2022," jelas MAS dan MTI.

Inflasi pengangkutan privet, bagaimanapun, diunjurkan "berkemungkinan sederhana" tahun depan sedang pihak berkuasa meramalkan rentak kenaikan lebih perlahan bagi premium COE dan kos petrol.

Inflasi di peringkat global diramal kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, dengan inflasi kekal tinggi dan "berkemungkinan bertahan buat beberapa waktu", menurut MAS dan MTI.

"Terutama sekali, harga minyak mentah lebih tinggi yang didorong oleh keadaan bekalan yang ketat, serta permintaan yang semakin mengukuh," tambah MAS dan MTI.

"Permintaan-bekalan yang tidak sepadan dalam pelbagai pasaran komoditi dan barangan, serta cerutan pada pengangkutan global mungkin akan berterusan dalam tempoh terdekat."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan