Inflasi teras S'pura merosot kepada 1.5% pada Februari
Kadar inflasi teras Singapura merosot kepada 1.5 peratus pada Februari berbanding setahun lalu - kadar paling rendah dalam tempoh sembilan bulan, disebabkan oleh kenaikan sedikit pada kos perkhidmatan dan barangan runcit serta bekalan elektrik dan gas.
SINGAPURA: Kadar inflasi teras Singapura merosot kepada 1.5 peratus pada Februari berbanding setahun lalu - kadar paling rendah dalam tempoh sembilan bulan, disebabkan oleh kenaikan sedikit pada kos perkhidmatan dan barangan runcit serta bekalan elektrik dan gas. Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan mendedahkan demikian dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (25 Mac).
Tinjauan Reuters sebelum ini meramalkan kadar inflasi 1.7 peratus. Kadar inflasi teras pada Januari adalah 1.7 peratus dari tahun ke tahun.
Tidak seperti indeks harga pengguna (CPI), kadar inflasi teras mengecualikan kos penginapan dan pengangkutan privet.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Singstat pada Isnin (25 Mac), kos perkhidmatan naik 1.5 peratus pada Februari berbanding tempoh yang sama tahun lalu, namun lebih rendah berbanding kenaikan 1.7 peratus yang dicatatkan pada Januari.
Kos makanan naik 1.4 peratus - sama seperti kadar Januari.
Kos bekalan elektrik dan gas pula meningkat pada kadar lebih perlahan, iaitu 5.5 peratus, berbanding kadar 6.5 peratus pada Januari. Ia mencerminkan kesan pasaran elektrik terbuka terhadap harga elektrik.
Sementara itu, CPI umum naik 0.5 peratus pada Februari berbanding setahun lalu, disebabkan oleh kemerosotan kos pengangkutan privet dan penginapan yang lebih sederhana.
Tinjauan Reuters meramalkan CPI umum akan naik 0.5 peratus bagi semua barangan. Pada Januari, CPI umum naik 0.4 peratus dari tahun ke tahun.
Kos pengangkutan privet merosot 2.3 peratus pada Februari berbanding tempoh yang sama tahun lalu, berbanding kemerosotan 3.4 peratus pada Januari. Ini disebabkan oleh kemerosotan lebih kecil pada kedua-dua harga kereta dan petrol.
Kos penginapan pula turun 1.6 peratus, berbanding kemerosotan 1.9 peratus pada Januari. Ini disebabkan oleh kemerosotan lebih sederhana pada kos sewa serta kenaikan lebih besar kos penyenggaraan dan pembaikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.