Skip to main content

Kewangan

Industri automotif global dijangka terjejas teruk dengan harga lebih tinggi, ramai hilang pekerjaan akibat tarif Amerika

Pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai tarif 25 peratus ke atas import kereta menggemparkan seluruh dunia pada Khamis (27 Mac), sedang pembuat kereta global memberi amaran mengenai kenaikan harga serta-merta dan para peniaga menimbulkan kebimbangan kehilangan pekerjaan di negara-negara pengeksport kenderaan yang besar, yang kebanyakannya adalah sekutu-sekutu Amerika.

Anggaran Waktu Membaca:
Industri automotif global dijangka terjejas teruk dengan harga lebih tinggi, ramai hilang pekerjaan akibat tarif Amerika

Sebilangan kereta yang dilihat di Pelabuhan Baltimore pada 27 Mac 2025. (Gambar: AP/Stephanie Scarbrough)

Diterbitkan : 28 Mar 2025 07:13AM Dikemas Kini : 28 Mar 2025 07:14AM
DETROIT/BERLIN: Pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai tarif 25 peratus ke atas import kereta menggemparkan seluruh dunia pada Khamis (27 Mac), sedang pembuat kereta global memberi amaran mengenai kenaikan harga serta-merta dan para peniaga menimbulkan kebimbangan kehilangan pekerjaan di negara-negara pengeksport kenderaan yang besar, yang kebanyakannya adalah sekutu-sekutu Amerika.

Levi baharu itu adalah satu lagi pusingan tarif yang luas yang akan dikuatkuasakan minggu depan. Tetapi tarif kereta sahaja boleh menambah beribu-ribu dolar kepada kos purata kenderaan di Amerika dan seterusnya melembapkan permintaan pada masa sektor itu sudahpun bergelut untuk menguruskan peralihan kepada kereta elektrik.

Kebanyakan saham kereta jatuh pada Khamis (27 Mac), dengan pengeluar kenderaan elektrik Amerika, Tesla, pengecualian yang ketara.

"Seluruh industri automotif, rantaian bekalan global dan syarikat serta pelanggan perlu menanggung kesan negatif," kata Volkswagen dari Jerman dalam satu kenyataan.

Amerika Syarikat ialah pengimport kereta terbesar di dunia, kebanyakannya dari Jepun, Korea Selatan dan Jerman, bersama-sama dengan kenderaan dari negara jiran Kanada dan Mexico.

Hampir separuh daripada semua kereta yang dijual di Amerika pada tahun lalu diimport, menurut firma penyelidikan GlobalData.

Saham General Motors turun hampir 7 peratus pada petang Khamis, manakala saham Ford Motor dan Stellantis yang tersenarai di Bursa Amerika jatuh kira-kira 3 peratus.

Saham Tesla meningkat kira-kira 5 peratus, kerana syarikat milik Elon Musk itu kurang terdedah kepada tarif berbanding para pesaingnya.

"Tiada 'pemenang' secara mutlak - hanya pemenang relatif, dengan jumlah kos yang besar ditetapkan untuk diperkenalkan ke dalam industri," kata penganalisis Barclays dalam nota, sambil menyifatkan tarif Encik Trump sebagai "hasil yang lebih kejam daripada yang dijangkakan."

Para penyokong usaha Encik Trump, termasuk US United Auto Workers, berkata Amerika harus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran domestik, walaupun proses pemindahan kemudahan mungkin akan mengambil masa selama bertahun-tahun, di mana kos akan meningkat dan pengeluaran boleh merosot.

Majlis Dasar Automotif Amerika (AAPC) yang mewakili pembuat kereta Detroit Three, berkata lewat Rabu bahawa "Pembuat Kereta Amerika komited kepada visi Presiden Trump untuk meningkatkan pengeluaran dan pekerjaan automotif di Amerika dan akan terus bekerjasama dengan Pentadbiran Presiden Trump mengenai dasar tahan lama yang membantu rakyat Amerika."

AAPC menambah bahawa adalah "kritikal" tarif dilaksanakan dengan cara yang mengelakkan kenaikan harga ke atas pengguna.

Ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum para peniaga dan pengguna melihat kekurangan yang besar. Para peniaga mempunyai purata 89 hari bekalan di lot mereka pada awal Mac, menurut data Cox Automotive.

Sesetengah pengguna telah cuba membuat pembelian sebelum harga mula meningkat.
Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita