Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Indonesia naikkan kadar faedah buat dua bulan berturut-turut untuk kawal inflasi

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia naikkan kadar faedah buat dua bulan berturut-turut untuk kawal inflasi

(Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2022 07:24PM Dikemas Kini : 22 Sep 2022 07:24PM

JAKARTA: Bank pusat Indonesia pada Khamis (22 Sep) menaikkan kadar faedah utamanya buat dua bulan berturut-turut untuk menangani kenaikan inflasi yang disebabkan harga bahan api dan perang di Ukraine. 

Bank Indonesia menaikkan kadar dasar kepada 4.25 peratus daripada 3.75 peratus, dan kenaikan itu adalah lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis. 

Dua lagi kadar utama turut dinaikkan sebanyak 50 mata asas. 

Bank pusat berkenaan pada Ogos menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2018 untuk bertahan daripada inflasi yang meningkat pantas, dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine meningkatkan harga makanan dan tenaga sejagat, sekali gus menyebabkan jutaan penduduk jatuh miskin. 

Namun, kenaikan harga bahan api bulan ini memberikan lebih tekanan kepada bank pusat itu untuk mengambil tindakan. 

Pemerintah Indonesia menaikkan harga bahan api bersubsidi sebanyak sekitar 30 peratus, dasar yang dijangka meningkatkan inflasi yang telah mencecah 4.69 peratus. 

Beberapa penganalisis mengunjurkan inflasi mencecah setinggi tujuh peratus menjelang akhir tahun ini.

Kenaikan kadar faedah pada Khamis adalah langkah "ke hadapan, persediaan masa depan" untuk "menurunkan jangkaan inflasi", kata Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo. 

Langkah itu bertujuan untuk menurunkan inflasi teras kepada sasaran bank pusat tersebut antara dua hingga empat peratus pada separuh kedua 2023, katanya, sekali gus meramalkan inflasi meningkat sehingga hampir enam peratus bulan ini. 

Presiden Joko Widodo yang dipilih pada 2014 berikrar untuk meningkatkan pertumbuhan tahunan kepada tujuh peratus. 

Bagaimanapun ekonomi Indonesia yang dipacu oleh komoditi hanya kekal berkembang sekitar lima peratus, dan jatuh di bawah paras berkenaan akibat pandemik koronavirus pada awal 2020. 

Dasar kewangan negara itu mungkin akan lebih ketat lagi apabila pemerintah berusaha untuk menangani inflasi dengan lebih meluas, kata ahli ekonomi.

"Walaupun kenaikan kadar faedah hari ini tidak diragui, saiz kenaikannya mengejutkan," kata ahli ekonomi Asia daripada Capital Economics, Gareth Leather.

"Dengan inflasi dijangka  melonjak lebih tinggi pada September dan kekal di atas sasaran sehingga akhir 2023, dasar kewangan berpotensi diketatkan lagi." 

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa