Skip to main content

Kewangan

Indonesia catat defisit belanjawan 54.6 trilion rupiah

Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) Indonesia mencatatkan defisit sebanyak 54.6 trilion rupiah (S$4.1 bilion) atau 0.21 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) setakat 31 Januari, dengan pemerintah menyifatkan kedudukan fiskal sebagai terkawal dan kekal dalam landasan ditetapkan bagi APBN 2026.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia catat defisit belanjawan 54.6 trilion rupiah
Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa. (Gambar fail: REUTERS/Willy Kurniawan)
Diterbitkan : 23 Feb 2026 06:14PM
JAKARTA: Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) Indonesia mencatatkan defisit sebanyak 54.6 trilion rupiah (S$4.1 bilion) atau 0.21 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) setakat 31 Januari, dengan pemerintah menyifatkan kedudukan fiskal sebagai terkawal dan kekal dalam landasan ditetapkan bagi APBN 2026.

Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata baki utama berjumlah 4.2 trilion rupiah (S$315.67 juta) juga mencerminkan pengurusan fiskal yang berhemat oleh pemerintah.

Beliau berkata pencapaian APBN bagi tempoh tersebut mempamerkan prestasi yang kukuh dengan hasil pemerintah mencecah 172.7 trilion rupiah (S$12.9 bilion) atau 5.5 peratus daripada sasaran APBN, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 9.5 peratus.

“Prestasi ini disokong oleh hasil cukai yang kekal utuh serta pendapatan negara bukan cukai, ia mula menunjukkan pemulihan di luar komponen tidak berulang tahun lalu,” kata beliau pada sidang media yang disiarkan menerusi akaun YouTube Kementerian Kewangan pada Isnin (23 Feb).

Dari segi perbelanjaan, Encik Purbaya berkata perbelanjaan negara berada pada 227.3 trilion rupiah (S$17.05 bilion) atau 5.9 peratus daripada had siling APBN, berkembang kukuh sebanyak 25.7 peratus tahun ke tahun.

“Ini menunjukkan pecutan perbelanjaan pemerintah sejak awal tahun, terutamanya untuk menyokong program keutamaan, mengekalkan kuasa beli dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama,” kata Encik Purbaya.

Pembiayaan berada pada 105.1 trilion rupiah (S$7.9 bilion) atau 15.2 peratus daripada sasaran, dilaksanakan secara terukur dan proaktif untuk mengekalkan kecairan dan kestabilan pasaran kewangan.

Secara keseluruhan, beliau berkata APBN 2026 terus berfungsi secara optimum sebagai penyerap kejutan serta enjin pertumbuhan ekonomi.

“Dengan pendapatan yang meningkat secara positif, perbelanjaan dipercepatkan dan defisit yang kekal terkawal, kami optimis APBN akan terus mengekalkan kestabilan, pada masa sama menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara sepanjang 2026,” kata Encik Purbaya.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita