Import & eksport SG berkembang tahun lalu; perdagangan diramal tumbuh lebih sederhana pada 2023
SINGAPURA: Secara keseluruhannya perdagangan barangan Singapura - yang dipacu oleh kedua-dua perdagangan minyak dan bukan minyak - berkembang 17.7 peratus pada 2022, lebih rendah berbanding 19.7 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Perdagangan barangan Singapura secara keseluruhannya mencecah S$1.4 trilion pada 2022, berbanding S$1.2 trilion pada 2021 dan S$969 bilion pada 2020, menurut Enterprise Singapore dalam kenyataan medianya pada Isnin (13 Feb).
Menurut Enterprise Singapore, peningkatan pada perdagangan barangan itu dipacu oleh kedua-dua perdagangan minyak dan bukan minyak, dengan perdagangan minyak meningkat 47.5 peratus pada 2022 di tengah-tengah harga minyak yang lebih tinggi setahun lalu, menyusuli kenaikan 43.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Perdagangan bukan minyak juga berkembang 11.9 peratus menyusuli pertumbuhan 15.9 peratus pada 2021.
Keseluruhan perdagangan barangan merosot sebanyak 1 peratus pada suku keempat 2022 setelah berkembang selama tujuh suku dan selepas mencatatkan pengembangan 25.7 peratus pada suku sebelumnya.
Sepanjang tempoh tersebut, perdagangan minyak meningkat sebanyak 14.1 peratus, manakala perdagangan bukan minyak merosot 4.2 peratus.
Kedua-dua eksport dan import meningkat pada 2022, masing-masing mencatatkan 15.6 dan 20.1 peratus.
Eksport bukan minyak (NOX) yang termasuk kedua-dua eksport domestik bukan minyak (NODX) dan eksport semula bukan minyak (NORX), meningkat 9.6 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menyusuli pertumbuhan 16.5 peratus pada tahun sebelumnya.
NODX berkembang pada 2022, sebahagian besarnya dipacu oleh eksport bukan elektronik.
Secara keseluruhannya, NODX berkembang 3 peratus pada 2022, menyusuli pertumbuhan 12.1 peratus pada 2021, dirangsang oleh lebih banyak penghantaran produk elektronik dan bukan elektronik.
Permintaan bagi produk elektronik berkurangan pada 2022 dan meningkat 0.5 peratus berbanding 16.3 peratus pada 2021.
Litar bersepadu (IC), komponen-komponen IC dan pemacu cakera menyumbang kepada sebahagian besar pertumbuhan tersebut.
Permintaan bagi produk bukan elektronik mencatat pertumbuhan 3.8 peratus pada 2022 menyusuli peningkatan 10.9 peratus pada 2021. Penyumbang terbesar adalah struktur kapal dan bot, alat pengukur dan jentera khas.
Pada suku keempat 2022, NODX merosot sebanyak 14.6 peratus selepas meningkat 0.3 peratus pada suku sebelumnya disebabkan oleh kemerosotan kedua-dua NODX elektronik dan bukan elektronik.
NODX ke pasaran-pasaran utama Singapura meningkat pada 2022, kecuali China, Hong Kong dan Thailand.
Penyumbang terbesar bagi peningkatan NODX adalah Amerika Syarikat (AS), negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.
Eksport domestik minyak berkembang sebanyak 52.4 peratus pada 2022, melanjutkan pertumbuhan 38 peratus yang dicatatkan pada 2021, menurut Enterprise Singapore.
Ini disebabkan oleh jumlah penghantaran minyak yang lebih tinggi ke Malaysia, Indonesia dan Australia, tambah kenyataan tersebut.
Dari segi jumlah, eksport domestik minyak mencatat pertumbuhan 1.7 peratus pada 2022 setelah merosot 10.7 peratus pada tahun sebelumnya.
RAMALAN BAGI 2023
Bagi ramalan untuk tahun depan, Enterprise Singapore menjangkakan prestasi perdagangan Singapura lebih sederhana daripada asas perbandingan yang tinggi pada 2022, sejajar dengan ramalan ekonomi dan unjuran perdagangan sejagat.
Harga minyak yang diramal lebih rendah pada 2023 berpotensi menjejas perdagangan minyak dan justeru keseluruhan perdagangan, menurut Enterprise Singapore, sambil menambah bahawa kemerosotan pada permintaan sejagat bagi semikonduktor mungkin membawa kesan kepada prestasi perdagangan elektronik dan eksport pada 2023.
Ia mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi perdagangan barangan dan NODX antara -2 peratus hingga 0 peratus bagi 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.