IMF turunkan unjuran pertumbuhan ekonomi ASEAN
Logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). (Gambar: Zach Gibson/AFP)
SINGAPURA: Ketua Pakar Ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengatakan pada Selasa (31 Jan) bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura dan negara-negara Asia Tenggara yang lain sudah diturunkan bagi 2023.
Ini kerana pertumbuhan sejagat yang perlahan akan menjejas kesan positif daripada pembukaan semula ekonomi China.
Encik Pierre-Olivier Gourinchas berkata demikian semasa menyampaikan taklimat IMF mengenai ramalan bagi pertumbuhan ekonomi sejagat dan faktor-faktor yang menyumbang kepada unjuran tersebut mendorong IMF untuk menurunkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura bagi 2023 kepada 1.5 peratus berbanding 2.3 peratus yang diramalkan pada Oktober lalu.
Dalam pada itu, IMF menaikkan sedikit unjuran pertumbuhan sejagat disebabkan oleh permintaan "kukuh" di Amerika Syarikat dan Eropah, pelonggaran kos tenaga dan pembukaan semula ekonomi China setelah Beijing memansuhkan sekatan-sekatan COVID-19 yang ketat, lapor Reuters.
IMF turut meramalkan pertumbuhan sejagat tetap akan menyusut kepada 2.9 peratus pada 2023 berbanding 3.4 peratus pada 2022.
Ini meskipun Ramalan Ekonomi Dunia mengunjurkan peningkatan yang lebih kukuh berbanding pertumbuhan 2.7 peratus yang diramalkan pada Oktober lalu bagi 2023, dengan amaran bahawa dunia di ambang kemelesetan.
Bagi 2024 pula, IMF meramalkan pertumbuhan global akan meningkat sedikit kepada 3.1 peratus, tetapi ini satu persepuluh daripada satu mata peratusan mata di bawah ramalan bagi Oktober kerana kesan penuh kenaikan kadar faedah bank pusat yang lebih tinggi dijangka akan menjejas permintaan.
Encik Gourinchas turut berpendapat bahawa risiko berlaku kemelesetan sudah berkurangan dan bank-bank pusat sedang mencatat kemajuan dalam usaha mengawal inflasi, tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk mengawal harga dan gangguan baru yang mungkin timbul daripada peperangan di Ukraine dan usaha China melawan COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.