Skip to main content

Kewangan

Hyundai labur S$400 juta buka kemudahan kenderaan elektrik pertama di S'pura

Syarikat pembuat kereta terbesar Korea Selatan, Hyundai, melaburkan S$400 juta untuk membuka kemudahan kenderaan elektrik yang pertama di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Oct 2020 06:22PM Dikemas Kini : 13 Oct 2020 09:38PM

SINGAPURA: Syarikat pembuat kereta terbesar Korea Selatan, Hyundai, melaburkan S$400 juta untuk membuka kemudahan kenderaan elektrik yang pertama di Singapura.

Berucap di majlis pecah tanah kemudahan tersebut siang tadi, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kemudahan itu mungkin menghasilkan sehingga 30,000 kenderaan elektrik setiap tahun menjelang 2025.

Kemudahan Hyundai yang bakal siap menjelang penghujung 2022 ini, membolehkan para pembeli memesan dan mengubah suai kereta elektrik dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Kemudahan seluas 28,000 meter persegi di Kawasan Inovasi Jurong itu membolehkan orang ramai melihat kereta itu dihasilkan dan memandu kereta di balapan yang tersedia di atas bangunan berkenaan.

PM Lee berkata kemudahan pertama seumpamanya di sini itu adalah satu lagi langkah ke arah rancangan negara ini memansuhkan penggunaan kenderaan petrol dan diesel menjelang 2040.

PM Lee menambah pelaburan itu menandakan detik bersejarah dalam hubungan ekonomi Korea Selatan dengan Singapura.

Pembukaan kemudahan itu juga menghidupkan semula industri menghasilkan kenderaan di sini selepas hampir empat dekad.

PM Lee turut mengulas mengenai kegiatan automatif di Singapura.

"Kegiatan automotif kini semakin bernas di Singapura. Kenderaan elektrik (EV) ada rangkaian bekalan berbeza, alat gantian yang kurang dan lebih banyak alat elektronik yang merupakan kekuatan Singapura.

"Itulah sebabnya syarikat-syarikat sejagat yang menghasilkan barangan automotif elektronik seperti Delphi dan Infineon sudahpun beroperasi di sini dan telahpun beroperasi sejak sekian lama," menurut PM Lee.

PM Lee juga berharap pelaburan Hyundai akan meransang pertumbuhan baru bidang ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bagi rakyat tempatan.

Ini termasuk para saintis data dan pakar strategi rangkaian dan para jurutera.

Jawatan-jawatan itu menurut PM Lee, tidak wujud beberapa tahun lalu tetapi kini pekerjaan berdaya saing dan memerlukan kemahiran baru.

Rakyat Singapura yang muda kata beliau, akan menimba ilmu dan kemahiran daripada para jurutera dari Korea Selatan dan merata dunia seperti masa lalu.

Selain itu, PM Lee yakin, Singapura akan dapat mewujudkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran-kemahiran itu.

Kemudahan Hyundai itu turut membuka laluan bagi lebih banyak firma Korea Selatan melabur di Singapura dan bekerjasama dengan para pembekal serta institusi pendidikan tempatan.

Hyundai misalnya sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Nanyang serta agensi A*STAR bagi menguji kereta tanpa pemandu. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita