Hyflux terima surat minat suntikan S$400 juta
Hyflux sedang berhubung dengan beberapa pihak dari luar negara yang berpotensi memulihkan prestasi kewangannya menerusi satu perjanjian menyusun semula syarikat bernilai S$400 juta.
(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Hyflux sedang berhubung dengan beberapa pihak dari luar negara yang berpotensi memulihkan prestasi kewangannya menerusi satu perjanjian menyusun semula syarikat bernilai S$400 juta.
Demikian menurut satu pernyataan kepada Bursa Singapura yang difailkan pada Khamis (25 Apr) oleh firma rawatan air yang sedang dibelenggu masalah kewangan itu.
Menurut Hyflux, ia sudah menerima surat minat tidak terikat dari pihak sedemikian - sebuah syarikat pemaju dan pemilik perbekalan air dan tenaga berpangkalan di Timur Tengah yang mempunyai "rekod baik".
Hyflux menyatakan kemungkinan suntikan sebanyak S$400 juta itu akan digunakan bagi tujuan ekuiti dan modal kerja serta berkemungkinan juga pembiayaan segera buat tempoh sementara.
Menurut pernyataan kepada SGX itu, sebuah kumpulan bank tidak bercagar terdiri daripada Bank Mizuho, KfW IPEX-Bank GmbH, Bank Bangkok, BNP Paribas, Bank CTBC, Bank Pembangunan Korea dan Bank Pembangunan Korea Cawangan Singapura, membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Singapura pada Rabu agar Hyflux dan Hydrochem diletakkan di bawah pengurusan kehakiman dan/atau pengurusan kehakiman sementara.
Permohonan Hyflux untuk melanjutkan tempoh bagi melunaskan hutangnya selama tiga bulan juga akan didengarkan di Mahkamah Tinggi Singapura pada Khamis, hanya beberapa hari sebelum perlindungan mahkamah bagi syarikat itu luput pada 30 April.
Jika diluluskan, moratorium hutang akan dilanjutkan kepada 30 Julai.
Ini menyusuli pembatalan perjanjian penyusunan semula antara Hyflux dengan SM Investments awal bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.