Hyflux batal rancangan penyusunan semula dengan pelabur Indonesia
Hyflux membatalkan perjanjian penyusunan semula dengan konsortium Salim-Medco, SM Investments (SMI), pada Khamis (4 Apr) sambil menyatakan ia "tidak mempunyai keyakinan" pelabur Indonesia itu akan menyempurnakan perjanjian tersebut.
SINGAPURA: Hyflux membatalkan perjanjian penyusunan semula dengan konsortium Salim-Medco, SM Investments (SMI), pada Khamis (4 Apr) sambil menyatakan ia "tidak mempunyai keyakinan" pelabur Indonesia itu akan menyempurnakan perjanjian tersebut.
Hyflux menyatakan ia "cuba untuk mendapatkan penglibatan SMI beberapa kali berkenaan rancangan penyusunan semulanya" namun ia tidak berhasil.
Menurut Hyflux, berikutan respons dan tingkah laku (SMI), ia tidak yakin bahawa pelabur itu bersedia untuk menyempurnakan usulan Pelaburan SMI sekalipun semua syarat-syarat terdahulu yang tidak dipenuhi di bawah Perjanjian Penyusunan Semula, ditepati.
Ini menyusuli perkembangan daripada minggu lalu apabila SMI menyatakan ia sedang menyemak semula jumlah yang perlu diketepikan bagi keperluan modal kerja Hyflux dan untuk melangsaikan tuntutan pemiutang, di tengah-tengah "maklumat bahan baru" tentang syarikat rawatan air tersebut.
Konsortium dari Indonesia itu tidak mendedahkan maklumat baru tersebut namun menyatakan bahawa ia "meningkatkan secara ketara" keperluan modal kerja kumpulan Hyflux.
Hyflux telah pun membatalkan mesyuarat-mesyuarat skim yang dijadual berlangsung pada 5 dan 8 April serta juga mesyuarat Agung Luar Biasa pada 15 April.
Diasaskan pada 1989 oleh Cik Lum, Hyflux membina dua daripada loji penyulingan Singapura yang boleh memenuhi sehingga 25 peratus keperluan air negara.
Syarikat tersebut menggajikan 2,300 orang dari serata dunia dan mempunyai operasi perniagaan di rantau Asia, Timur Tengah dan Afrika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.