Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hungryy - syarikat anak Melayu ini gajikan 6,000 'rider', app dimuat turun 30,000 pengguna

Sebut sahaja khidmat penghantaran makanan, yang lazimnya timbul dalam fikiran pasti Grabfood, Foodpanda atau Deliveroo kerana khidmatnya sudah begitu sinonim dengan industri itu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebut sahaja khidmat penghantaran makanan, yang lazimnya timbul dalam fikiran pasti Grabfood, Foodpanda atau Deliveroo kerana khidmatnya sudah begitu sinonim dengan industri itu.

Namun mungkin sudah tiba masanya anda mencuba juga Hungryy - khidmat penghantaran makanan oleh sebuah syarikat anak Melayu.

Perkhidmatannya persis pemain-pemain besar dalam industri penghantaran makanan. Cuma semua pilihan di app Hungryy adalah dari restoran, kafe dan gerai halal sahaja.

Sebenarnya Hungryy boleh dianggap cukup 'besar' kerana walaupun kurang setahun ditubuhkan, ia kini mempunyai lebih 6,000 penunggang penghantaran yang berdaftar dengannya. Suatu bilangan yang cukup besar.

(Gambar-gambar: @hungryysg/Instagram)

Lebih 30,000 pengguna juga sudah memuat turun app Hungryy.

"Jumlah penunggang yang sudah berdaftar dengan Hungryy melebih 6,000 orang dan yang aktif mungkin dalam 2,500 hingga 3,000. Kita ada ratusan perniagaan yang sudah berdaftar dan aktif dengan Hungryy. Lebih daripada 200 perniagaan," dedah pengasas Hungryy, Encik Muhammad Zulkifli Rahmat, kepada BERITAmediacorp.

Jika diambil angka lebih 6,000 'rider' itu, ia menimbulkan jangkaan adakah Hungryy akan nanti juga diangkat menjadi salah satu syarikat gergasi khidmat penghantaran makanan di Singapura?

Mengikut perangkaan tahun lalu, Foodpanda dilaporkan mempunyai 8,000 'rider' manakala Deliveroo pula mempunyai 7,000 penunggang. Jumlah penunggang mereka yang aktif bagaimanapun dipercayai lebih besar berbanding Hungryy buat masa ini. 

Hungryy ditubuhkan secara bersama oleh Encik Zulkifli dengan rakan kongsinya, Encik Aszri Ahmad dengan modal S$100,000.

"Kos untuk membina platform seperti Hungryy ini sebenarnya agak mahal. Tapi Alhamdulillah kerana pihak Hungryy mempunyai kerjasama dengan sebuah pasukan pengekodan di luar negara, kos untuk membina platform seperti ini tidak sampai 30 peratus daripada harga pasaran sebenar," tambah Encik Zulkifli.

KUASAI SEBAHAGIAN PENGHANTARAN BURGER KING

Jika anda meninjau-ninjau app Hungryy, anda akan mendapati ada banyak perniagaan makanan yang cukup popular dalam platform itu. Ini termasuklah FatBurger, Rumah Makan Minang, Al-Azhar dan Hjh Maimunah.

Lebih mengagumkan lagi, Hungryy sudah berjaya memikat syarikat terkemuka Burger King. Hungryy malah mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa ia menguasai khidmat penghantaran bagi 40 peratus daripada 57 cawangan Burger King di negara ini.

"Kami memang mengendalikan penghantaran untuk 23 cawangan mereka di daerah timur laut dan timur. Ia adalah satu strategi di mana kerjasama dengan Burger King memberi 'credential' (kewibawaan) pihak kami," terang Encik Zulkifli.

HUNGRYY AMBIL KOMISYEN LEBIH RENDAH

Satu lagi strategi Hungryy yang membezakannya daripada pesaing-pesaing dalam industri adalah komisyen 16.5 peratus yang dikenakan ke atas peniaga.

Kadar itu jauh lebih rendah berbanding komisyen antara 25 hingga 35 peratus yang diambil Grab, Foodpanda dan Deliveroo.

"Untuk pelanggan pula, mereka cuma dikenakan yuran serendah S$2.49 hingga S$14.95 walaupun penghantaran itu, contoh, dari Jurong ke Changi," kata Encik Zulkifli lagi sambil mendakwa kos tersebut sebagai yang "terendah di Singapura".

Namun yang dititkberatkan Hungryy agar dapat terus berkembang ternyata adalah Pemasaran dan Teknologi.

Berkat pemasaran yang agresif menerusi wadah WhatsApp, ujar Encik Zulkifli, app Hungryy dimuat turun lebih 7,000 kali pada hari pertama ia dilancarkan.

AKAN TAWAR KHIDMAT BARU; TEMBUS PASARAN M'SIA

Sebagai sebuah perniagaan yang baru bertapak dalam industri dikuasai pemain-pemain besar, Hungryy sememangnya boleh dikatakan sudah cukup mantap dengan segala pencapaian yang diraih sejauh ini.

Maka tidak hairanlah, Hungryy kini dalam proses untuk mempelbagaikan khidmat yang ditawarkannya.

"Insya-Allah lagi sebulan dua bulan lagi, kita akan ada pilihan 'preorder' (pesanan awal) di mana masyarakat Singapura boleh pesan makanan sekarang tetapi penghantarannya tiga empat bulan kemudian," dedah Encik Zulkifli.

Pilihan itu antara lain ditawarkan supaya dapat menarik para peniaga dari rumah (HBB) untuk turut memanfaatkan khidmat mereka.

"Ramai peniaga dari rumah mengambil pesanan tetapi mereka misalnya tidak langsung membuat kuih. Jadi pilihan ini akan memudahkan mereka juga.

"Dan kita akan ada makanan beku dan barang dapur. Kita akan ada juga Hungryy live. Itu rahsia, apabila kita dah sedia kita akan lancarkan," dedah Encik Zulkifli tapi masih berahsia.

Seterusnya, Hungryy mahu mula menembusi pasaran luar negara pula sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya.

"Kami mempunyai cita-cita untuk membuka Hungryy di Malaysia tidak lama lagi. Mungkin tahun ini. Kita sasar suku ketiga hingga suku keempat," ujar Encik Zulkifli. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan