Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

HSBC: Cadangan Pakatan Harapan hapuskan GST boleh bawa risiko fiskal ketara pada ekonomi

Cadangan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan memberi risiko ketara kepada ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
HSBC: Cadangan Pakatan Harapan hapuskan GST boleh bawa risiko fiskal ketara pada ekonomi

Logo HSBC tertera di pintu masuk bangunan HSBC di New York. (GAMBAR: REUTERS/Mike Segar)

Diterbitkan : 20 Apr 2018 07:22PM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 07:31PM

KUALA LUMPUR: Cadangan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan memberi risiko ketara kepada ekonomi sekiranya tiada langkah menjana hasil yang mengimbanginya, walaupun ia digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum ini. 

HSBC Group berkata GST diperkenalkan pada 2015, apabila dividen dan royalti berkaitan minyak jatuh menjunam dan ia membolehkan kerajaan secara perlahan-lahan menstabilkan fiskal manakala dalam masa yang sama terus membiayai perbelanjaan sosial yang semakin meningkat. 

“Pada 2017, GST menyumbang 21.3 peratus daripada hasil kerajaan berbanding 13.1 peratus daripada pendapatan berkaitan minyak dan gas di mana sebelum pengenalan GST, SST hanya menyediakan hasil secara kasarnya 7.5 peratus.

“Untuk lebih jelas lagi, tanpa hasil cukai tambahan daripada GST, kerajaan akan mencatatkan defisit 4.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2017 berbanding tiga peratus,” kata kumpulan perbankan itu dalam laporan terkini Global Research mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang.

Kumpulan itu berkata PH juga mencadangkan pengenalan semula subsidi bahan api terpilih bagi motorsikal di bawah 125cc dan kereta di bawah 1,300cc.

“Ini membayangkan defisit bajet lebih tinggi berikutan ketiadaan hasil mengimbangi,” kata HSBC Group.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan