Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Heikal Gani - Usahawan fesyen & tikar 'hip' dari S'pura jana puluhan juta $ setiap tahun

Dalam masa setahun sahaja, produk berjenama Sugarmat yang menghasilkan tikar dan aksesori yoga boleh meraih sehingga AS$5 juta (S$6.8 juta). Ia juga berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat, Eropah, China, Asia Tenggara dan kebelakangan ini, di Timur Tengah juga.

Anggaran Waktu Membaca:
Heikal Gani - Usahawan fesyen & tikar 'hip' dari S'pura jana puluhan juta $ setiap tahun

(Gambar: Syawal Yusoff)

BERITAmediacorp: Dalam masa setahun sahaja, produk berjenama Sugarmat yang menghasilkan tikar dan aksesori yoga boleh meraih sehingga AS$5 juta (S$6.8 juta). Ia juga berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat, Eropah, China, Asia Tenggara dan kebelakangan ini, di Timur Tengah juga.

Jenama Sugarmat juga mendapat perhatian pempengaruh media sosial dan selebriti Hollywood seperti Lindsay Lohan.

Malah, ia juga pernah dipaparkan dalam rancangan bual bicara popular di Amerika Syarikat, The Wendy Williams Show.

Tidak kurang menarik adalah hakikat bahawa jenama ini sebenarnya diasaskan oleh seorang anak jati Singapura bernama Heikal Gani.

Beliau menjadi pilihan kami untuk dipaparkan dalam bahagian keenam siri khas BERITAmediacorp - 'Buatan atau Ciptaan Singapura' - sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

PROJEK TERBARU PAPAR LUKISAN TERKEMUKA PADA TIKAR YOGA SUGARMAT

Bermula pada 2017, Encik Haikel mengambil langkah berani untuk menubuhkan syarikat yang menghasilkan sendiri tikar dan aksesori yoga. Ini setelah melihat trend senaman yoga dan Pilates kian popular.

Ketika itu usahawan tersebut masih lagi menetap di Montreal, Kanada dan melancarkan jenama Sugarmat dengan menumpukan kepada pasaran Amerika Syarikat.

(Gambar: Facebook/Sugarmat)

Dengan kualitinya yang diakui, produknya dijual di rangkaian gedung serbaneka mewah Nordstrom, Anthropologie dan Urban Outfitters dan dipaparkan di majalah-majalah seperti Vogue dan O, The Oprah Magazine.

Dalam masa sekitar lima tahun sahaja, jenama ini berjaya menebarkan sayapnya ke pasaran Eropah, Asia serta Timur Tengah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Selalunya Heikal di luar negeri, di Kanada atau Amerika atau di China. Kalau diberitahu yang Heikal ini dari Singapura, (mereka) agak kagum, tidak aneh. Tetapi kalau kembali di Singapura kalau kawan-kawan atau yang tahu yang jenama Sugarmat adalah hasil daripada anak Singapura, mereka agak bangga dengan jenama itu," kongsi peniaga berusia 39 tahun itu kepada BERITAmediacorp.

Kini, Encik Heikal ingin jenama Sugarmat maju setapak lagi ke hadapan dengan tawaran berkolaborasi dengan Galeri Nasional London untuk menghasilkan beberapa produk.

"Kami menggunakan lukisan yang terpaling popular di Galeri Nasional London dan kami akan menghasilkan ke atas tikar yoga Sugarmat. Lalu boleh dipasarkan di London dan juga melalui internet," kata Encik Heikal.

Projek bersama galeri yang mempamerkan karya-karya oleh tokoh-tokoh bersejarah seperti Leonardo Da Vinci dan Picasso ini dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang dan berlangsung selama dua tahun.

JENAMA INDOCHINO YANG DIASASKAN RAIH AS$50J SETAHUN

Sebelum menubuhkan Sugarmat secara solo, Encik Heikal sebenarnya adalah pengasas bersama satu lagi jenama menjual sut yang ditempah khas iaitu Indochino, pada 2007.

"Dalam masa lima tahun, kami berkembang daripada syarikat kecil ke syarikat yang mencecah hasil sebanyak USD20 juta (S$27.27 juta). Tahun pertama kami menjual 5,000 pakaian. Bila kami ke tahun ke-5, kami menjual 5,000 pakaian dalam masa sebulan," ujar Encik Heikal.

(Gambar: Facebook/Indochino)

Ketika itu, pasaran utama syarikat tersebut adalah Amerika dan produk-produknya dijual di 50 kawasan di Toronto, Vancouver, New York, Chicago dan banyak lagi.

Ia juga mendapat liputan luas dari majalah-majalah dan akhbar termasuk GQ, Forbes dan The New York Times.

"Pada tahun 2011 syarikat Heikal, Indochino, dipaparkan di majalah Business Week. Business Week mengiktiraf Indochino sebagai salah satu syarikat permulaan Amerika yang berpotensi. Detik itu agak istimewa untuk Heikal. Tidak sangka seorang Melayu Singapura dapat dipaparkan di majalah Amerika dari majalah yang berprofil tinggi," cerita Encik Heikal kepada kami.

Sehingga ke hari ini, Indochino meraih penjualan sehingga AS$50 juta (S$68.17 juta) setahun.

TUBUHKAN JENAMA KELENGKAPAN IBADAH - LASOUK

Anak kelahiran Singapura ini yang dahulu berpangkalan di Montreal dan Shanghai selama 15 tahun, kini pulang ke tanah air untuk membuka pejabat ketiganya di sini.

Di Singapura, Encik Heikal melihat satu lagi peluang untuk meluaskan rangkaian perniagaannya. Beliau meneroka pula pasaran kelengkapan ibadah seperti telekung dan sejadah menerusi jenama Lasouk.

Sejak dilancarkan pada 2019, Lasouk mendapat sambutan cukup memberangsangkan di Singapura, Malaysia, Indonesia dan juga Dubai. Dalam hampir dua tahun sahaja Lasouk berjaya meraih hingga AS$500,000 (S$680,000) setahun.

Selain rekaan sejadahnya yang berilhamkan reka bentuk bandar Marrakesh di Maghribi, Haikel turut mengeluarkan sejadah edisi khas Batik hasil kerjasama dengan pereka fesyen terkenal Indonesia, Didiet Maulana.

"Kejayaan Heikal adalah kejayaan Singapura. Heikal merancang untuk terus berusaha dan berusaha keras. Terus berusaha untuk mengharumkan lagi nama keluarga, bangsa dan negara dan apa-apa yang sokongan yang kita terima dari warga Singapura, Heikal terhutang budi sekali," kata Encik Heikal.

Menurut Encik Heikal, beliau banyak menerima tawaran untuk bekerjasama dengan jenama-jenama di Singapura dan beliau terbuka untuk berkolaborasi.

Selain itu beliau juga meluaskan lagi rangkaian perniagaannya dan kini berjinak-jinak dengan bidang F&B pula dengan membuka sebuah kafe. La Fez yang dibuka pada Mac 2021 menghidangkan makanan-makanan ala Maghribi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Memandang ke hadapan, Encik Heikal menyimpan hasrat untuk menjadikan jenama-jenamanya lebih hijau.

"Heikal merancang untuk menjadikan semua syarikat yang saya uruskan lebih mesra alam atau mampan. Tiada syarikat pada hari ini yang boleh melepaskan tanggungjawab kepada masyarakat dan alam sekitar," ujar Encik Heikal.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan