Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura tumbuh lebih perlahan pada Jan 2022

Hasil pengilangan Singapura terus meningkat pada Januari meskipun pada rentak pertumbuhan lebih perlahan, jatuh 2 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data rasmi pada Jumaat (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil pengilangan S'pura tumbuh lebih perlahan pada Jan 2022

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 25 Feb 2022 05:15PM Dikemas Kini : 25 Feb 2022 05:16PM

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura terus meningkat pada Januari meskipun pada rentak pertumbuhan lebih perlahan, jatuh 2 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data rasmi pada Jumaat (25 Feb).

Ini berikutan pertumbuhan yang disemak semula sebanyak 16.7 peratus pada Disember.

Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran naik 4.7 peratus, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam satu kenyataan media.

Berdasarkan penyesuaian musiman bulanan, hasil pengilangan merosot 10.7 peratus pada Januari 2022. Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran susut 0.2 peratus.

KEBANYAKAN KELOMPOK CATAT PERTUMBUHAN

Hasil pengilangan am menyaksikan peningkatan tertinggi pada Januari, mencatatkan kenaikan 17.4 peratus berbanding tahun lalu, dengan semua segmen mencatatkan pertumbuhan.

Segmen industri lain meningkat 19.9 peratus, dengan pengeluaran lebih tinggi produk berkaitan binaan, barang kemas dan pakaian. Segmen makanan dan minuman (F&B) serta tembakau dan pencetakan masing-masing berkembang 16.3 peratus dan 4.1 peratus.

Kejuruteraan pengangkutan meningkat 16.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021. Segmen aeroangkasa melonjak 25.8 peratus dengan permintaan lebih tinggi bagi penyenggaraan dan kerja-kerja pembaikan sedang sekatan perjalanan sejagat dilonggarkan berbanding setahun sebelumnya.

Segmen marin dan lepas pantai juga meningkat sebanyak 9.6 peratus dengan lebih banyak pekerjaan dilakukan dalam kegiatan pembinaan kapal dan pembaikan.

Dalam kejuruteraan jitu, hasil pengeluaran tumbuh 11.6 peratus berbanding setahun sebelumnya. Dalam kelompok itu, segmen jentera dan sistem meningkat 20.5 peratus, dipacu oleh pengeluaran lebih tinggi bagi peralatan semikonduktor, peralatan dan aksesori jentera serta peralatan mengukur.

Bagaimanapun, segmen modul dan komponen jitu merosot 5.7 peratus dengan pengeluaran lebih rendah produk optikal.

Kelompok elektronik tumbuh 0.1 peratus, jatuh 2.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, disebabkan asas pengeluaran lebih tinggi pada tahun sebelumnya, menurut EDB.

Segmen elektronik infokom dan pengguna serta segmen modul dan komponen jitu mencatatkan kenaikan, masing-masing sebanyak 26.3 peratus dan 19.5 peratus.

Segmen semikonduktor dan peranti komputer serta segmen penyimpanan data bagaimanapun menguncup, masing-masing sebanyak 0.9 peratus dan 4.8 peratus.

Kelompok pengeluaran bioperubatan pula merosot 10.6 peratus berbanding setahun lalu.

Dalam kelompok itu, pengeluaran bagi segmen farmaseutikal jatuh 18 peratus disebabkan pengeluaran lebih rendah produk biologi.

Sebaliknya, segmen teknologi perubatan mencatatkan kenaikan 1.1 peratus dengan permintaan eksport lebih tinggi bagi peralatan perubatan.

Pengeluaran kimia susut 2.3 peratus sedang segmen kimia lain menguncup 22.1 peratus dengan pengeluaran lebih rendah dalam wangi-wangian.

Sementara itu, segmen-segmen lain mencatatkan pertumbuhan. Pengeluaran penapisan petroleum meningkat 13.3 peratus hasil daripada asas pengeluaran lebih rendah setahun sebelumnya disebabkan permintaan eksport lebih rendah di tengah-tengah penularan COVID-19.

Sementara itu, segmen bahan khusus dan petrokimia masing-masing tumbuh 3.6 peratus dan 2.1 peratus. Segmen bahan khusus mencatatkan pengeluaran lebih tinggi bagi gas perusahaan.

Kenyataan media bagi prestasi pengeluaran bulanan yang seterusnya akan dikeluarkan pada 25 Mac.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan