Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura tumbuh lebih lembap; catat 3.4% pada Mac

Hasil pengilangan Singapura pada Mac 2022 terus meningkat tetapi mencatatkan pertumbuhan lebih lembap sebanyak 3.4 peratus berbanding setahun lalu. Demikian menurut data rasmi oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Selasa (26 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura pada Mac 2022 terus meningkat tetapi mencatatkan pertumbuhan lebih lembap sebanyak 3.4 peratus berbanding setahun lalu. Demikian menurut data rasmi oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Selasa (26 Apr).

Hasil pengilangan pada Mac 2022 tumbuh 9.7 peratus, tidak termasuk pengilangan bioperubatan.

Pada Februari, hasil pengilangan berkembang sebanyak 17.5 peratus.

Bagaimanapun, berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, keluaran pengilangan merosot sebanyak 12.6 peratus.

Pengeluaran jatuh 6.1 peratus, tidak termasuk pengilangan bioperubatan.

Berdasarkan purata tiga bulan, hasil pengilangan naik 7.1 peratus pada Mac berbanding setahun lalu.

Pertumbuhan terbesar disaksikan pada kelompok kejuruteraan pengangkutan di mana hasil pengeluaran melonjak 20.7 peratus daripada tahun sebelumnya.

Segmen aeroangkasa berkembang 39.3 peratus dengan penghasilan lebih banyak bahagian pesawat serta permintaan lebih tinggi bagi penyenggaraan dan kerja pembaikan daripada syarikat komersil, menurut EDB.

Segmen marin dan luar pesisir naik 7.9 peratus dengan lebih banyak kerja dilakukan di projek-projek luar pesisir, tambahnya.

Dalam tiga bulan pertama 2022, pengeluaran daripada kelompok kejuruteraan pengangkutan meningkat 13.8 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.

Peningkatan terbesar seterusnya disaksikan pada segmen elektronik di mana pengeluaran berkembang sebanyak 14.5 peratus pada Mac, berbanding setahun lalu.

Pertumbuhan itu dipacu oleh pengembangan pengeluaran daripada semua segmen kecuali segmen peranti komputer dan penyimpanan data, menurut EDB.

“Lebih khusus lagi, segmen semikonduktor tumbuh 17.3 peratus, disokong oleh permintaan berterusan daripada pasaran 5G dan pusat data di tengah-tengah kekurangan cip di seluruh dunia," tambahnya.

Secara keseluruhannya, kelompok elektroik berkembang 14.6 peratus pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2021.

Bagi pengilangan am, pengeluaran meningkat 10.2 peratus berbanding setahun sebelumnya, dengan semua segmen mencatatkan pertumbuhan.

“Segmen makanan, minuman dan tembakau berkembang 15.2 peratus dengan penghasilan lebih banyak produk minuman, produk susu serta makanan haiwan," menurut EDB.

Secara keseluruhannya, kelompok industri pengilangan am menyaksikan pertumbuhan 12.7 peratus pada tiga bulan pertama 2022 berbanding tempoh sama setahun lalu.

Hasil pengeluaran kimia turut menokok 0.8 peratus pada Mac.

Segmen kimia lain meningkat 54.2 peratus dengan penghasilan lebih tinggi bagi wangi-wangian manakala pengeluaran petroleum naik 3.8 peratus.

"Segmen kepakaran khusus dan petrokimia masing-masing merosot 1.2 peratus dan 16.0 peratus, dengan segmen petrokimia mencatatkan pengeluaran lebih rendah disebabkan penutupan loji bagi kerja-kerja penyenggaraan,” menurut EDB.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini, kelompok itu menguncup 1.2 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.

Bagi segmen kejuruteraan jitu pula, pengeluaran merosot 1.4 peratus pada Mac berbanding tempoh sama tahun lalu.

Secara keseluruhannya, kelompok kejuruteraan jitu tumbuh 3.6 peratus antara Januari hingga Mac 2022 berbanding tempoh sama setahun lalu, menurut EDB.

Pengilangan bioperubatan juga menyaksikan kemerosotan pada pengeluaran, mencatatkan 26.3 peratus pada Mac dari tahun sebelumnya.

“Segmen teknologi perubatan menguncup 7.1 peratus berikutan permintaan eksport lebih rendah bagi peranti perubatan," menurut EDB.

Antara tempoh Januari hingga Mac 2022, kelompok pengilangan bioperubatan merosot sebanyak 6.8 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan