Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura tumbuh 17.9% pada November

Hasil pengilangan Singapura meningkat 17.9 peratus dari tahun ke tahun pada November, dipacu oleh penghasilan bioperubatan dan elektronik.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Dec 2020 02:43PM Dikemas Kini : 24 Dec 2020 08:44PM

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura meningkat 17.9 peratus dari tahun ke tahun pada November, dipacu oleh penghasilan bioperubatan dan elektronik.

Tidak termasuk penghasilan bioperubatan, hasil pengilangan tumbuh 14 peratus, kata Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Khamis (24 Dis).

Pemulihan pada November menyusuli penguncupan tahun ke tahun selepas semakan semula iaitu sebanyak 0.8 peratus pada Oktober disebabkan kemerosotan kejuruteraan pengangkutan.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, hasil pengilangan tumbuh 7.2 peratus pada November. Tidak termasuk penghasilan bioperubatan, hasil pengeluaran tumbuh 6 peratus.

Hasil pengilangan bioperubatan melonjak 40.6 peratus pada November berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dipacu oleh pengembangan 50.8 peratus dalam segmen farmasi.

Segmen teknologi perubatan juga tumbuh 22.7 peratus dengan permintaan eksport yang lebih kukuh untuk peralatan perubatan.

Dalam kelompok elektronik, pengeluaran melonjak 34.9 peratus pada November berbanding tahun sebelumnya, dengan semua segmen mencatat pertumbuhan kecuali infokomunikasi dan elektronik pengguna.

Khususnya, segmen semikonduktor tumbuh 40.9 peratus, didorong permintaan dari pasaran 5G dan asas pengeluaran yang rendah setahun lalu.

Sektor pengeluaran kimia tumbuh 10.1 peratus dari tahun ke tahun, didorong oleh kenaikan 25.1 peratus dalam segmen petrokimia yang berkembang dari asas rendah tahun lalu akibat penutupan kilang bagi penyenggaraan.

Segmen khas meningkat 8.9 peratus dengan pengeluaran lebih tinggi bagi gas perindustrian dan bahan tambahan minyak mineral.

Segmen kimia dan petroleum lain masing-masing menguncup 2 peratus dan 31.7 peratus, sedang permintaan kekal lemah di tengah-tengah situasi COVID-19.

Pengeluaran turut meningkat untuk kejuruteraan jitu dengan peningkatan 7.3 peratus berbanding tahun lalu. Segmen mesin dan sistem tumbuh 9.4 peratus dengan pengeluaran peralatan semikonduktor yang lebih tinggi. Segmen modul dan komponen jitu tumbuh 2.8 peratus disebabkan oleh pengeluaran alat optik dan komponen jitu logam.

SEKTOR-SEKTOR YANG MENGUNCUP

Di antara kelompok-kelompok yang menguncup, hasil pengeluaran kejuruteraan pengangkutan merosot paling banyak sebanyak 29.5 peratus dari tahun ke tahun pada November.

Segmen darat tumbuh 31.8 peratus dengan pengeluaran bahagian dan aksesori kenderaan bermotor yang lebih tinggi, namun ini diimbangi oleh penurunan segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir serta aeroangkasa.

Tahap kegiatan di syarikat-syarikat aeroangkasa dan limbungan kapal tetap rendah kerana pesanan baru terjejas teruk akibat sekatan perjalanan dan pasaran minyak & gas global yang lemah, kata EDB.

Pengeluaran juga merosot dalam kelompok pengilangan am, dengan penurunan 13.3 peratus dari tahun ke tahun dengan semua segmen mencatat penurunan pengeluaran.

Segmen makanan, minuman dan tembakau susut 14 peratus disebabkan pengeluaran produk minuman dan susu tepung yang lebih rendah.

Segmen industri kecil dan percetakan masing-masing merosot 10.7 peratus dan 19.6 peratus, dengan segmen industri kecil menyaksikan permintaan lemah untuk produk-produk berkaitan binaan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan