Skip to main content

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura jangkaui ramalan; naik 14.3% pada Disember, catat pertumbuhan 7.3% pada 2020

Hasil pengilangan Singapura tumbuh 14.3 peratus pada Disember tahun lalu berbanding setahun sebelum itu, menjangkaui ramalan dan membawa pertumbuhan keseluruhan bagi 2020 kepada 7.3 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jan 2021 03:19PM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 09:29PM

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura tumbuh 14.3 peratus pada Disember tahun lalu berbanding setahun sebelum itu, menjangkaui ramalan dan membawa pertumbuhan keseluruhan bagi 2020 kepada 7.3 peratus.

Para pakar ekonomi yang ditinjau oleh Reuters meramalkan pertumbuhan 11.5 peratus pada Disember.

Hasil pengeluaran industri dipacu oleh elektronik, kimia dan kejuruteraan jitu. Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran meningkat 19.8 peratus pada Disember, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Selasa (26 Jan).

Pertumbuhan pada bulan Disember menyusuli pengembangan 18.7 peratus yang disemak semula pada bulan November dan bukan 17.9 peratus yang dilaporkan sebelum ini.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, hasil pengilangan tumbuh 2.3 peratus pada Disember. Para pakar ekonomi menjangkakan penguncupan 0.6 peratus. Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran tumbuh 8.2 peratus berbanding bulan November.

SEKTOR ELEKTRONIK CATAT PERTUMBUHAN

Keluaran pengilangan elektronik meningkat 41.8 peratus pada Disember berbanding bulan yang sama pada 2019, dengan peningkatan 51 peratus dicatatkan dalam segmen semikonduktor yang memacu pertumbuhan tersebut. Ia didorong oleh permintaan dari pasaran 5G dan asas pengeluaran yang rendah setahun sebelum itu.

Segmen pelengkap komputer dan penyimpanan data juga tumbuh 9.3 peratus.

Hasil pengeluaran modul elektronik dan segmen komponen yang lain bagaimanapun mengalami kemerosotan 8.7 peratus.

Segmen infokom dan elektronik pengguna juga menguncup 6.7 peratus.

Secara keseluruhannya, hasil pengeluaran kelompok elektronik tumbuh 11.9 peratus pada 2020 berbanding 2019.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita