Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil cukai naik 2.1% kepada S$53.5 bilion dalam tahun kewangan 2019/20

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) mengumpul pendapatan cukai sebanyak S$53.5 bilion bagi tahun kewangan 2019/20, naik 2.1 peratus berbanding tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil cukai naik 2.1% kepada S$53.5 bilion dalam tahun kewangan 2019/20

Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 16 Oct 2020 03:02PM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 03:15PM

SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) mengumpul pendapatan cukai sebanyak S$53.5 bilion bagi tahun kewangan 2019/20, naik 2.1 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah itu membentuk 72 peratus daripada pendapatan operasi Pemerintah dan 10.5 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP), menurut IRAS dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada Jumaat (16 Okt).

Cukai pendapatan keseluruhan - merangkumi cukai pendapatan korporat, cukai pendapatan peribadi dan cukai tertangguh - membentuk lebih separuh (57 peratus) daripada jumlah keseluruhan yang dikumpul. Jumlah S$30.8 bilion yang dikumpul pada tahun kewangan 2019/20 adalah 4.8 peratus lebih tinggi berbanding cukai pendapatan keseluruhan pada tahun sebelumnya.

Pengumpulan GST bagi tahun kewangan 2019/20 naik "sedikit" sebanyak 0.2 peratus kepada S$11.2 bilion. GST memperuntukkan 21 peratus daripada pengumpulan cukai keseluruhan.

Meskipun pengumpulan cukai hartanah meningkat, pengumpulan cukai setem jatuh hampir 9 peratus. IRAS menyatakan ini disebabkan oleh jumlah urus niaga hartanah yang merosot.

SOKONGAN SEMASA PANDEMIK COVID-19

IRAS menyatakan ia akan terus menyokong pemerintah dalam pentadbiran skim-skim bantuan - Skim Kredit Gaji, Skim Bantuan Pekerjaan, Geran Tunai Pemerintah dan insentif Pertumbuhan Pekerjaan. Menerusi skim-skim itu, geran bernilai S$18 bilion sudah diagihkan tahun ini.

Geran-geran itu "membantu perniagaan dan rakyat Singapura mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan oleh COVID-19," menurut IRAS.

KHIDMAT DIGITAL

Dalam laporannya, pihak berkuasa cukai itu juga menarik perhatian mengenai peningkatan dalam penggunaan khidmat digital untuk "menjadikan pembayaran cukai lebih lancar dan mudah".

IRAS menyatakan bahawa bagi penilaian cukai tahun lalu, sekitar 1,600 pemandu teksi dan kereta sewa privet menggunakan skim pemfailan wadah sembang melibatkan borang-borang Q&A dengan "bahasa percakapan", serta wadah chatbot interaktif.

Melangkah ke depan, kebanyakan notis kertas dan surat akan dikirimkan secara digital, tambah IRAS. Ini akan dilaksanakan mulai Mei tahun depan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan