Skip to main content

Kewangan

Harga pembelian Tuaspring timbul tanda tanya; SIAS minta PUB beri penjelasan

Badan pemerhati pelabur, Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (SIAS) meminta PUB supaya menjelaskan bagaimana harga sifar bagi pembelian Loji Penyulingan Tuaspring (TSDP) diputuskan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Mar 2019 08:07PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 11:43PM

SINGAPURA: Badan pemerhati pelabur, Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (SIAS) meminta PUB supaya menjelaskan bagaimana harga sifar bagi pembelian Loji Penyulingan Tuaspring (TSDP) diputuskan.

Dalam suratnya kepada ketua eksekutif PUB Ng Joo Hee pada Selasa (26 Mac), presiden SIAS David Gerald menanyakan beberapa soalan kepada agensi air negara itu berhubung pengumumannya untuk mengambil alih loji tersebut.

Awal bulan ini, PUB mengumumkan bahawa ia akan menamatkan perjanjian pembelian air (WPA) dengan anak syarikat Hyflux, Tuaspring Pte Ltd (TPL) dan mula mengambil alih loji penyulingan itu jika syarikat tersebut tidak dapat melunaskan hutang-hutangnya sebelum 5 April.

Menurut agensi tersebut, pihaknya bersedia untuk mengenepikan jumlah pampasan yang ia berhak menerima di bawah perjanjian berkenaan dan membeli loji penyulingan itu pada harga sifar dolar (tanpa membuat pembayaran).

Dalam suratnya Encik Gerald bertanya bagaimana harga sifar diputuskan dan jika harga pembelian seharusnya "sama dengan kos bagi menggantikan sebuah bangunan atau loji".

"Dalam kenyataan media anda bertarikh 21 Mac 2019, anda menyatakan bahawa 'harga pembelian bagi TSDP akan diputuskan oleh penilai bebas, mengikut syarat WPA'. Adakah terdapat penilai bebas bagi TSDP?" tanya Encik Gerald.

Suratnya turut mempersoalkan tindakan PUB dan mengapa agensi itu - yang sudah sedia maklum tentang situasi Tuaspring dan Hyflux sejak 2017 - memilih untuk mengeluarkan notis gagal melunaskan pinjaman agar ia luput pada tarikh 5 April.

Tarikh itu pula jatuh pada hari yang sama rancangan penyusunan semula Hyflux akan diputuskan berdasarkan pengundian.

"Tindakan PUB baru-baru ini, seperti mengeluarkan notis TPL gagal melunaskan pinjaman dan pengumuman terbaru itu menimbulkan keprihatinan yang serius kepada para pelabur dan pihak-pihak berkepentingan; ramai daripada mereka turut menyuarakan keprihatinan serius kepada SIAS," kata Encik Gerald.

"NEA juga mungkin boleh mengeluarkan notis serupa bagi pembinaan Tuas One. Mengambil NEA sebagai contoh, mengapa PUB tidak boleh menunggu sehingga mesyuarat skim Hyflux untuk mengeluarkan notis tersebut?" tanya Encik Gerald lagi.

"Bukankah lebih baik cara begitu bagi membantu 50,000 rakyat Singapura yang sudah melaburkan wang mereka, untuk mengelakkan ketidaktentuan?

"Mengapa PUB tidak boleh menunggu sehingga selesai penyusunan semula untuk melihat bagaimana kegagalan untuk melunaskan pinjaman boleh dihuraikan? Bolehkah PUB memberikan sedikit masa lagi?"

Selepas mengalami kerugian, firma rawatan air Hyflux sejak beberapa bulan lalu sudah berusaha untuk menyusun semula syarikat tersebut

Menurut afidavit pada 1 Mac, Hyflux mengalami kerugian bersih bernilai S$1.1 bilion bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2018 selepas melupuskan S$916 juta nilai pemegangan Tuaspring dan projek-projek lain.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita