Harga minyak mendatar, kebimbangan lebihan bekalan berlarutan
Harga minyak berubah sedikit pada Selasa (5 Ogos) menyusuli penurunan selama tiga hari, berikutan kebimbangan berhubung lebihan bekalan yang semakin meningkat selepas OPEC+ bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran sekali lagi pada September.
Kompleks penapisan minyak Repsol kelihatan ketika matahari terbenam berhampiran Tarragona, Sepanyol, pada 13 Februari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Nacho Doce)
Niaga hadapan Brent tidak berubah pada AS$68.76 (S$88.52) setong pada 0036 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat berada pada AS$66.27 (S$85.32) setong, susut dua sen atau 0.03 peratus.
Kedua-dua kontrak susut lebih satu peratus dalam sesi sebelumnya, ditutup pada paras terendah dalam tempoh seminggu.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+, menyumbang kira-kira separuh daripada pengeluaran minyak dunia dan sebelum ini menghadkan pengeluaran selama beberapa tahun bagi menyokong pasaran. Namun tahun ini, kumpulan itu memperkenalkan beberapa pusingan peningkatan pengeluaran secara agresif untuk meraih semula bahagian pasaran.
Dalam keputusan terbarunya, OPEC+ pada Ahad bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 547,000 tong sehari bagi bulan September.
Ia menandakan pembatalan awal sepenuhnya terhadap pemotongan pengeluaran terbesar kumpulan itu, iaitu sekitar 2.5 juta tong sehari atau kira-kira 2.4 peratus daripada permintaan global. Namun, para penganalisis memberi amaran bahawa jumlah sebenar yang akan kembali ke pasaran mungkin adalah lebih rendah.
Pada masa yang sama, desakan Amerika Syarikat agar India menghentikan pembelian minyak dari Rusia, sedang Washington berusaha untuk mengenakan tekanan terhadap Mosko untuk mencapai perjanjian damai dengan Ukraine, meningkatkan kebimbangan berlakunya gangguan terhadap aliran bekalan.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kini mengancam untuk mengenakan tarif sekunder sebanyak 100 peratus ke atas pembeli minyak mentah Rusia. Ini susulan pengumuman tarif 25 peratus terhadap import India pada Julai lalu.
India merupakan pembeli terbesar minyak mentah Rusia yang dihantar melalui laut, dengan import sekitar 1.75 juta tong sehari dari Januari hingga Jun tahun ini, meningkat satu peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut data yang diserahkan kepada Reuters oleh sumber dagangan.
Para pedagang juga menunggu perkembangan lanjut berhubung tarif baharu Amerika Syarikat terhadap rakan dagang utamanya, yang dibimbangi para penganalisis boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan peningkatan permintaan bahan api.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.