Skip to main content

Kewangan

Harga minyak melonjak susuli serangan Israel di Doha

Harga minyak melonjak susulan laporan Doha, ibu negara Qatar, menjadi sasaran serangan udara Israel atas alasan menyasarkan pemimpin Hamas.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga minyak melonjak susuli serangan Israel di Doha

Harga minyak naik susulan serangan udara Israel di Doha. (Gambar hiasan: AFP)

KUALA LUMPUR: Harga minyak melonjak susulan laporan Doha, ibu negara Qatar, menjadi sasaran serangan udara Israel atas alasan menyasarkan pemimpin Hamas.

Setakat Rabu pagi (10 Sep), minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada AS$66.39 (S$85.21) setong manakala minyak mentah WTI menokok 0.54 peratus kepada AS$62.97 (S$80.82) setong.

Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy Jorge Leon berkata tindakan Israel itu hanya menjadi satu lagi tindakan yang memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah.

“Risiko penularan krisis itu ke seluruh rantau semakin ketara. Sebahagian besarnya akan bergantung kepada tindak balas Qatar yang juga sekutu rapat Amerika Syarikat dan anggota utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Tindakan Qatar seterusnya akan membentuk trajektori dinamik serantau," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan sebarang kesan itu akan memburukkan lagi ketegangan di seluruh rantau Teluk, malah melangkaui wilayah itu yang membuktikan keadaan genting ketika ini.

“Rundingan (membabitkan pihak Hamas) yang sememangnya goyah sebelum ini, kini kelihatan tertutup terus dan hanya menyuramkan lagi prospek bagi menyelesaikan krisis itu dalam masa terdekat,” kata Encik Jorge.

Dalam pada itu, Qatar mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa selain menjadi ancaman serius ke atas keselamatan rakyat Qatar dan warga asing di negara itu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita