Skip to main content

Kewangan

Harga emas, perak merosot; pelabur lega dengan pilihan pengerusi Rizab Persekutuan Trump

Anggaran Waktu Membaca:
Harga emas, perak merosot; pelabur lega dengan pilihan pengerusi Rizab Persekutuan Trump
Harga emas jatuh sehingga 12 peratus pada satu ketika, berada di bawah AS$5,000 seauns (S$6349.50) selepas mencecah paras tertinggi hampir AS$5,600 sehari sebelumnya.
Diterbitkan : 31 Jan 2026 11:45AM

NEW YORK: Harga emas dan perak menjunam pada Jumaat (30 Jan) dan pasaran saham Eropah ditutup minggu ini dengan kenaikan, manakala Wall Street pula merosot.

Ini sedang pelabur berasa lega dengan pilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencalonkan Kevin Warsh sebagai pengerusi Rizab Persekutuan (Fed).

Logam berharga, yang dilihat sebagai pelaburan selamat, sudah mula merosot berikutan laporan, yang kemudiannya disahkan, bahawa Encik Trump mencalonkan mantan pegawai Fed, Encik Warsh, untuk menggantikan Jerome Powell sebagai pengerusi bank pusat Amerika.

Encik Trump mengumumkan pilihannya di media sosial pada Jumaat, sambil berkata bahawa Encik Warsh, seorang mantan pegawai bank pelaburan Morgan Stanley dan gabenor Fed, "akan dianggap sebagai salah seorang Pengerusi Fed yang HEBAT, mungkin yang terbaik".

Kathleen Brooks, pengarah penyelidikan di kumpulan perdagangan XTB, berkata "pilihan yang menarik ... mungkin memberi pasaran sedikit harapan bahawa kebebasan Fed akan dipelihara".

Serangan peribadi Encik Trump terhadap pengerusi Fed Encik Jerome Powell - yang bakal berundur daripada jawatannya pada bulan Mei - mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan pelabur bahawa kebebasan dasar bank pusat tergugat, sekali gus berpotensi menimbulkan risiko inflasi kepada ekonomi Amerika.

Harga logam yang berharga jatuh pada Jumaat selepas melonjak dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila pelabur mencari aset selamat atas keraguan tentang dasar Encik Trump.

Emas jatuh sebanyak 12 peratus pada satu ketika, berada di bawah AS$5,000 (S$6349.50) seauns selepas mencecah paras tertinggi hampir AS$5,600 (S$7111.40) pada Khamis.

Perak, yang pada Khamis mencapai paras tertinggi di atas $120 seauns, turun sekitar 30 peratus kepada kira-kira $82 seauns.

Pasaran kewangan mengalami turun naik minggu ini apabila pedagang berdepan dolar yang lebih lemah, ancaman Encik Trump terhadap Tehran, penyambungan semula ancaman tarif presiden dan kemungkinan penutupan operasi pemerintah Amerika.

Pasaran saham Asia ditutup minggu ini dengan beberapa kerugian besar menyusuli pengunduran teknologi di Wall Street pada Khamis berikutan kebimbangan baharu mengenai pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI).

Pendapatan yang sihat daripada Meta, Samsung dan SK Hynix menaikkan semangat pada awal minggu ini, tetapi Microsoft dihukum kerana kebimbangan program AI yang mahal mungkin tidak menghasilkan keuntungan kewangan.

Mata wang dolar Amerika bagaimanapun melonjak lebih tinggi berikutan pencalonan Encik Warsh.

Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita