Skip to main content

Kewangan

Harga emas cecah paras tertinggi dalam 7 minggu susuli harapan Selat Hormuz dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:
Harga emas cecah paras tertinggi dalam 7 minggu susuli harapan Selat Hormuz dibuka semula

Jongkong emas tulen 99.99 peratus di kilang logam berharga Krastsvetmet di Krasnoyarsk, Rusia, pada 16 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Alexander Manzyuk)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 11:11AM
BENGALURU: Harga emas meningkat bagi sesi keempat berturut-turut pada Khamis (6 Ogos), mencecah paras tertinggi dalam tujuh minggu sedang harapan semakin meningkat bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula.

Kenaikan itu turut disokong dolar Amerika Syarikat yang lebih lemah dan hasil bon Perbendaharaan Amerika yang lebih rendah.

Harga spot emas (spot gold) atau harga semasa emas di pasaran global bagi transaksi serta-merta atau hampir serta-merta meningkat 1 peratus kepada AS$4,285.69 (S$5,490) seauns pada sekitar 8.35 pagi waktu Singapura, paras tertinggi sejak 18 Jun.

Pada Rabu (5 Ogos), harga emas mencatat kenaikan harian terbesar sejak Februari.

Niaga hadapan emas Amerika pula meningkat 0.9 peratus kepada AS$4,345.50 (S$5,570).

Hasil bon Perbendaharaan Amerika bagi tempoh 10 tahun merosot, manakala indeks dolar Amerika turut berada di bawah tekanan.

Dolar Amerika yang lebih lemah menjadikan komoditi yang diniagakan dalam mata wang itu lebih murah bagi pemegang mata wang lain.

HARAPAN SELAT HORMUZ DIBUKA SEMULA

Satu cadangan perjanjian antara Iran dengan Oman bagi membantu menamatkan perang selama lima bulan antara Iran dengan Amerika dipercayai akan memberi Tehran kawalan ke atas kapal yang memasuki Teluk menerusi Selat Hormuz.

Seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau berkata kepada Reuters bahawa cadangan itu merupakan antara konsesi terbesar kepada Iran setakat ini.

Harapan terhadap perkembangan di Iran turut menyebabkan jangkaan pasaran bagi kenaikan kadar faedah Amerika pada September merosot kepada 55 peratus, berbanding 67 peratus dua hari sebelumnya.

Emas lazimnya mencatat prestasi lebih baik dalam persekitaran kadar faedah rendah kerana ia tidak memberikan pulangan faedah.

Namun, Gabenor Rizab Persekutuan Amerika Lisa Cook berkata beliau terbuka kepada kemungkinan bank pusat itu perlu menaikkan kadar faedah jangka pendek bagi menangani inflasi yang masih terlalu tinggi.

Pelabur kini menantikan laporan pekerjaan bukan perladangan Amerika bagi Julai yang dijadualkan dikeluarkan pada Jumaat (7 Ogos).

Data ADP yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan pertumbuhan pekerjaan sektor swasta Amerika menjadi perlahan pada Julai.

Jumlah pekerjaan sektor swasta meningkat sebanyak 44,000 pada bulan lalu, berbanding peningkatan 95,000 pada Jun yang disemak turun.

LOGAM BERHARGA LAIN TURUT NAIK

Harga spot perak meningkat 0.4 peratus kepada AS$62.34 (S$79.90) seauns.

Platinum naik 0.8 peratus kepada AS$1,750.15 (S$2,240) seauns, manakala paladium meningkat 1 peratus kepada AS$1,377 (S$1,760) seauns.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita