Hampir 80% majikan SG naikkan gaji pada 2024; gaji sebenar meningkat 3.2% tahun lalu
Gaji di Singapura meningkat pada rentak yang lebih pantas tahun lalu berbanding 2023 sedang inflasi merosot, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporannya pada Rabu (28 Mei).
Gaji sebenar meningkat 3.2 peratus pada 2024, meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun sebelumnya. Inflasi mencecah 2.4 peratus pada tahun lalu berbanding 4.8 peratus yang dicatatkan pada 2023.
Kenaikan gaji sebenar pada 2024 adalah yang tertinggi sejak 2019, dengan rentak pertumbuhan sebahagian besarnya menguncup sejak 2018.
Jumlah gaji nominal, yang tidak mengambil kira inflasi, meningkat 5.6 peratus, tinggi sedikit berbanding 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2023.
MOM bagaimanapun memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan global berisiko mempengaruhi sentimen perniagaan.
Tinjauan yang dijalankan pada suku pertama tahun ini menunjukkan penurunan pada jumlah firma yang merancang untuk menaikkan gaji.
"Trend ini berpotensi menunjukkan penyederhanaan pada pertumbuhan gaji nominal pada 2025 berbanding 2024, terutamanya dalam sektor-sektor yang bergantung kepada perdagangan seperti pengilangan dan perdagangan borong," kata MOM.
LEBIH BANYAK SYARIKAT NAIKKAN GAJI PADA 2024
Hampir 80 peratus syarikat menaikkan gaji pekerja mereka tahun lalu, meningkat daripada 65.6 peratus pada 2023, sedang semakin banyak majikan meraih keuntungan.
"Majoriti majikan menaikkan gaji disebabkan oleh prestasi masa lalu majikan dan bukannya keyakinan yang berpandangan jauh," menurut MOM.
Antara syarikat-syarikat yang menaikkan gaji pada 2024, purata kenaikan gaji menurun kepada 6.6 peratus berbanding 7.2 peratus pada 2023.
Bagi 3.2 peratus syarikat yang memotong gaji pada 2024, saiz penurunan itu ialah 3.6 peratus. Pada 2023, 6.5 peratus syarikat memotong gaji sebanyak 6.2 peratus.
MOM menegaskan bahawa keuntungan syarikat berbeza-beza bagi pelbagai industri, dengan perkhidmatan hartanah, binaan dan perdagangan borong mempunyai jumlah syarikat yang kurang menguntungkan, dan pengilangan menyaksikan peningkatan perniagaan yang menguntungkan.
Pengilangan dan perdagangan borong mungkin mempunyai syarikat yang kurang menguntungkan pada tahun akan datang disebabkan oleh ketegangan perdagangan global, dedah kementerian itu.
SEKTOR DENGAN KENAIKAN GAJI PALING BESAR
Perkhidmatan kewangan, serta sektor masyarakat, sosial dan perkhidmatan peribadi, menyaksikan peningkatan menjangkaui paras purata pertumbuhan gaji nominal pada tahun lalu.
Peningkatan terbesar adalah dalam pentadbiran dan khidmat sokongan pada 8.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh Model Gaji Progresif.
Perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) menyaksikan kenaikan gaji di bawah paras purata, seperti juga perdagangan borong dan pengilangan, di mana kenaikan gaji dijangka menjadi sederhana pada tahun akan datang disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan perdagangan.
Di seluruh Singapura, gaji pekerja berpangkat rendah dan kakitangan peringkat pengurusan rendah masing-masing meningkat 5.8 peratus dan 5.6 peratus, tinggi sedikit daripada 5.1 peratus yang dilaporkan bagi pengurusan kanan.
MOM berkata ini sebahagiannya mencerminkan usaha untuk mengimbangi tekanan kos sara hidup.
Dasar-dasar pemerintah seperti menaikkan gaji pekerja tempatan yang layak dan pelaksanaan Model Gaji Progresif membantu menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah, tambah kementerian itu.
"Kenaikan gaji pekerja berpendapatan rendah tidak mempunyai kesan yang ketara terhadap daya saing kos, kerana ia hanya membentuk komponen yang sangat kecil daripada jumlah kos perniagaan secara keseluruhannya," kata MOM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.