HalalFoodHunt bawa bazar Hari Raya ke dalam talian; tumpuan kepada makanan
Bazar Raya tahun ini akan diadakan secara digital. Ini selepas beberapa acara di Singapura terpaksa dibatalkan ataupun ditangguhkan akibat COVID-19.
SINGAPURA: Bazar Raya tahun ini akan diadakan secara digital. Ini selepas beberapa acara di Singapura terpaksa dibatalkan ataupun ditangguhkan akibat COVID-19.
Beberapa penganjur kemudian memilih untuk mengadakan bazar secara online demi menyokong perniagaan dan menyemarakkan lagi suasana Syawal.
Namun begitu, para peniaga meramalkan pendapatan tahun ini akan merosot sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tahun-tahun sebelum ini.
Suasana Bazar Geylang Serai tahun lalu begitu meriah, menampilkan sekitar 600 gerai dan menarik dua juta pengunjung.
Namun kini, kawasan Geylang menjadi ruang yang sunyi disebabkan langkah-langkah membendung COVID-19.
Lantaran itu, blog makanan halal tempatan, HalalFoodHunt, akan mengadakan sebuah bazar secara online.
Bazar online itu akan memberikan perhatian kepada makanan untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan merasai hidangan istimewa semasa bulan Ramadan.
Para peniaga yang kerap menjadi vendor di Bazar Raya Geylang Serai juga akan menyertai bazar online sedemikian demi mendapatkan lebih banyak pelanggan.
Syarikat Walaku misalnya menyatakan pihaknya sudah mengalami kerugian lebih 40 peratus semasa COVID-19.
Meskipun lebih menggemari sebuah bazar fizikal, Walaku bersikap positif bahawa mereka boleh mendapatkan golongan pelanggan lain secara online.
Syarikat busana yang kebanyakan penjualan datang daripada acara bazar tahunan mengongsikan pihaknya menjangkakan kadar penjualan merosot lebih 50 peratus.
Walaupun menjalankan perniagaan secara online adalah satu pilihan, ia mungkin bukan satu pilihan yang popular.
Ini kerana para pelanggan lebih berminat untuk membeli-belah barangan lebaran secara fizikal dan juga keadaan COVID-19 mungkin mengubah cara mereka menyambut Hari Raya.
Para penganjur dan vendor menyatakan meskipun bazar online membawa rasa yang lain tetapi diharapkan suasana Hari Raya dapat terus disemarakkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.