Grab uji khidmat penghantaran barang di timur S'pura
Bermula Selasa (23 Okt), para pelanggan di sesetengah kawasan boleh menghantar barang menggunakan GrabExpress, sedang syarikat kereta sewa privet itu cuba menembusi pasaran logistik di Singapura.

Petikan skrin khidmat GrabExpress (Gambar: Grab)
SINGAPURA: Bermula Selasa (23 Okt), para pelanggan di sesetengah kawasan boleh menghantar barang menggunakan GrabExpress, sedang syarikat kereta sewa privet itu cuba menembusi pasaran logistik di Singapura.
Khidmat penghantaran ikut permintaan, yang kini dalam fasa perintis, disediakan dari 8.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari hanya di kawasan-kawasan tertentu. Ia termasuk Changi, Tampines, Paya Lebar, Bedok, Marine Parade, Geylang, Kallang, Bendemeer, Jalan Besar, Bugis dan The Esplanade.
Harga bermula dari S$6 untuk setiap penghantaran, dengan S$1 dikenakan bagi setiap kilometer jarak penghantaran. Bayaran penghantaran tidak tertakluk kepada kenaikan harga dan ERP.
Bungkusan yang dihantar tidak boleh melebihi lima kilogram dan ukurannya tidak boleh melebihi 32 sentimeter (sm) kali 25sm kali 12sm.
Ketua pasaran serantau di GrabExpress, Encik Melvin Vu berkata: "Kami akan mengkaji hasil percubaan ini dan mengumpulkan maklum balas daripada pengguna dan rakan kongsi khidmat penghantaran sebelum melancarkannya kepada semua orang."
Sekiranya berjaya, GrabExpress akan bersaing dengan khidmat penghantaran lain yang terdapat dalam aplikasi mudah alih seperti RydeSend yang baru dilancarkan, Lalamove, GoGoVan dan CarPal.
Menurut Grab lagi, buat masa ini, penghantaran dibuat menggunakan penunggang motosikal khidmat GrabFood kerana pemandu kereta sewa privet dan teksi belum lagi dibolehkan menjalankan khidmat penghantaran apabila tiada penumpang. Ini selaras dengan peraturan yang ditetapkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
"Syarikat kami berharap untuk memperluaskan khidmat ini kepada para pemandu GrabCar dan GrabTaxi satu hari nanti dan sedang dalam perbincangan secara berterusan dengan LTA," menurut syarikat itu, yang juga menambah bahawa ini akan membolehkan semua pemandu dan rakan kongsi penghantaran di platformnya untuk menambah pendapatan dan memanfaatkan kenderaan mereka dengan lebih baik semasa menyediakan khidmat.
Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Janil Puthucheary, mengumumkan di Parlimen bulan lalu bahawa pengendali teksi dan firma kereta sewa privet boleh menghubungi LTA jika mereka berminat untuk membenarkan pemandu mereka menyediakan khidmat penghantaran dalam percubaan terhad.
LTA akan bekerjasama dengan para pengendali untuk menilai kemungkinan menjalankan khidmat percubaan dan menetapkan perlindungan bagi memastikan kenderaan yang digunakan mempunyai perlindungan insurans pihak ketiga yang sewajarnya, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.