Grab-Singtel, Ant Group, Sea antara penerima lesen bank digital di S'pura
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah memberi lesen bank digital penuh kepada Singtel-Grab serta syarikat teknologi Sea.
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah memberi lesen bank digital penuh kepada Singtel-Grab serta syarikat teknologi Sea.
Dalam pengumuman pada Jumaat malam (4 Dis), bank pusat Singapura itu menyatakan konsortium Singtel-Grab dan Sea Limited diberikan dua lesen bank digital penuh yang membenarkan perbankan runcit.
Dua lesen lain untuk bank borong digital diberikan kepada Ant Group milik Jack Ma serta sebuah konsortium terdiri daripada Greenland Financial, Linklogis Hong Kong dan Beijing Co-operative Equity Investment Fund Management.
Lesen itu membolehkan syarikat-syarikat tersebut menawarkan khidmat kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta pelanggan korporat.
MAS menyatakan pemohon yang berjaya mendapatkan lesen itu "perlu memenuhi semua keperluan berhemat sewajarnya dan pra-syarat pelesenan" sebelum diberikan lesen masing-masing.
MAS menambah ia menjangka bank-bank digital baru itu akan mula beroperasi pada awal 2022.
Pengarah urusan MAS Ravi Menon berkata bank pusat itu "melaksanakan proses yang ketat dan berdasarkan prestasi untuk memilih sekumpulan bank digital yang kuat".
"Kami mahu mereka maju bersama bank sedia ada dan meningkatkan tahap industri dalam memberikan perkhidmatan kewangan yang bermutu, terutama bagi perniagaan dan individu yang masih ada ruang berkembang," tambahnya, sambil berkata bahawa bank-bank itu akan memperkukuhkan lagi sektor kewangan Singapura bagi ekonomi digital masa hadapan.
Bank online bukan sesuatu yang baru, dengan konsep seperti itu sudah beroperasi di sebahagian rantau Asia seperti China dan Jepun.
Seperti bank biasa, mereka menawarkan khidmat seperti menerima deposit, membuka akaun, pinjaman, menguruskan pembayaran dan pinjaman kepada pelanggan.
Namun, bank digital menawarkan khidmat secara online kerana bank-bank itu tidak mempunyai cabang fizikal.
MAS pertama kali mengumumkan pada Jun tahun lalu akan mengeluarkan hingga lima lesen perbankan digital - dua untuk perbankan runcit dan tiga untuk perbankan borong - kepada pemain bukan bank, dalam salah satu langkah terbesar negara untuk membuka sektor perbankannya.
MAS menerima 21 permohonan menjelang hujung 2019, sebelum 14 calon disenarai pendek enam bulan kemudian.
Tempoh penilaian ditunda ke separuh kedua tahun ini daripada jadual awal pada Jun, ekoran pandemik COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.