Grab mohon kenakan yuran platform bagi setiap perjalanan
Syarikat khidmat kereta sewa privet Grab memohon untuk mengenakan yuran platform S$0.30 (S$0.32 termasuk GST) bagi setiap perjalanan untuk menampung kosnya, menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Selasa (28 Jul).
Pusat R&D Grab di Marina One. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa privet Grab memohon untuk mengenakan yuran platform S$0.30 (S$0.32 termasuk GST) bagi setiap perjalanan untuk menampung kosnya, menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Selasa (28 Jul).
"Grab membuat permohonan bahawa yuran platform S$0.30 setiap perjalanan akan membolehkan Grab mengekalkan dan meningkatkan pelbagai langkah keselamatan dan kos operasi lain," kata badan pengawas persaingan itu dalam satu kenyataan media.
"Sepertiga daripada dana yang dikumpulkan melalui yuran platform itu akan diketepikan untuk memberi bayaran faedah bagi kesejahteraan pemandu."
Dalam permohonannya, Grab menyatakan bahawa yuran platform "sesuai dengan norma industri khidmat kereta sewa privet" sambil merujuk kepada langkah Gojek mengenakan yuran platform S$0.70, manakala khidmat serupa di negara-negara lain mengenakan yuran perkhidmatan atau yuran tempahan.
CCCS kini mengundang orang ramai untuk memberi maklum balas mengenai cadangan itu mulai Selasa hingga 11 Ogos.
KEBENARAN CCCS DIPERLUKAN SEBELUM GRAB TUKAR HARGA
Grab tidak dibenarkan untuk mengubah harga atau produknya tanpa kelulusan daripada CCCS, setelah syarikat itu mengambil alih perniagaan Uber di Asia Tenggara pada 2018.
Uber menjual perniagaannya di Asia Tenggara kepada Grab bagi 27.5 peratus hak milik Grab sebagai tukar ganti, dengan badan pengawas persaingan itu menyatakan urus niaga tersebut melanggar Undang-Undang Persaingan.
Pembelian itu telah menjejas "persaingan dengan ketara" dalam industri khidmat penumpang di Singapura, menurut CCCS ketika itu.
Arahan dikeluarkan kepada kedua-dua syarikat untuk "mengurangkan kesan buruk urus niaga itu ke atas pemandu dan penumpang dan untuk memastikan pasaran kekal terbuka".
Di bawah arahan itu, Grab perlu mengekalkan harga, dasar penetapan harga dan pilihan produknya seperti sebelum urus niaga, termasuk kadar dan struktur komisen pemandu, bagi semua produknya dalam pasaran perkhidmatan kereta sewa privet.
Walaupun ia boleh memohon kepada CCCS untuk mengubah atau memansuhkan arahan tersebut, Grab tidak boleh mengubah harganya tanpa persetujuan dari badan pemantau itu.
PELABURAN UNTUK KESELAMATAN PENUMPANG
"Grab membuat pelaburan besar untuk menyediakan pengalaman yang selamat dan menyenangkan di wadahnya," kata syarikat itu berhubung permohonannya.
"Pelaburan ini tertumpu kepada langkah-langkah membaiki lagi keselamatan, mengelakkan penipuan dan melindungi identiti serta program-program untuk menjaga pendapatan dan kemaslahatan pemandu.
CCCS menyatakan pihaknya akan mempertimbangkan sama ada Grab harus dibenarkan untuk memperoleh kembali pelaburan yang dikatakannya bagi keselamatan penumpang dan faedah pemandu, dan jenis pelaburan yang perlu dipertimbangkan.
Pengarah urusan pengangkutan Grab, Andrew Chan berkata dengan sepertiga daripada yuran platform disalurkan kepada kesejahteraan pemandu, Grab akan meneliti meningkatkan lagi langkah-langkah seperti menggandakan liputan insurans kemalangan diri untuk kenderaan sewa, elaun latihan bagi pemandu meningkatkan kemahiran, dan sumbangan lebih tinggi kepada Program Pemadanan GrabCar Medisave.
Orang ramai boleh menghantar maklum balas mereka kepada CCCS menerusi emel sehingga 5.00 petang, 11 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.