Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Grab dedah khidmat kiriman wang baru di Asia Tenggara

Grab hari ini (15 Nov) mendedahkan khidmat kiriman wang baru yang membolehkan para penduduk Asia Tenggara untuk mengirimkan wang dengan segera dan secara selamat kepada para penerima di negara lain menerusi GrabPay.

Anggaran Waktu Membaca:
Grab dedah khidmat kiriman wang baru di Asia Tenggara

Khidmat baru Grab didedahkan di Pavilion Singapura di Sidang Puncak ASEAN yang ke-33, disaksikan oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan. (Gambar: Grab)

Diterbitkan : 15 Nov 2018 09:29PM Dikemas Kini : 15 Nov 2018 09:33PM

SINGAPURA: Grab hari ini (15 Nov) mendedahkan khidmat kiriman wang baru yang membolehkan para penduduk Asia Tenggara untuk mengirimkan wang dengan segera dan secara selamat kepada para penerima di negara lain menerusi GrabPay.

Khidmat baru itu didedahkan di Pavilion Singapura di Sidang Puncak ASEAN yang ke-33, dan disaksikan oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

"Sistem pembayaran serantau yang boleh dilakukan pada masa nyata akan meningkatkan peluang, terutamanya bagi rakyat dan perniagaan-perniagaan kecil, untuk mendapat akses kepada produk dan khidmat di merata ASEAN. Kami berharap untuk melihat lebih banyak khidmat digital inovatif seumpama itu dari sektor privet," kata Dr Balakrishnan.

Khidmat tersebut akan disediakan mulai awal 2019. Grab menyatakan khidmat itu akan membolehkan para penerima dana untuk sama ada mengeluarkan wang menerusi rangkaian rakan kongsinya seperti kedai-kedai serbaneka dan peniaga, atau menggunakannya bagi urus niaga harian seperti membayar bil atau menokok kredit telefon bimbit.

"Sebagai pemain fintech utama di Asia Tenggara, Grab Financial berada dalam kedudukan unik untuk memperkemas proses mengirim wang kepada orang-orang tersayang dan meningkatkan akses produk dan khidmat kewangan bagi setiap orang di rantau ini," kata Pengarah Urusan Kanan Grab Financial, Reuben Lai.

Apabila ditanya sama ada Grab akan mengenakan sebarang bayaran bagi khidmat tersebut atau menerima komisyen bagi setiap urus niaga, jurucakap syarikat itu mengatakan bahawa ia akan mengongsi lebih banyak maklumat mengenai struktur bayaran apabila khidmat itu dilancarkan.   

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan